Bekas pemain TFC rayu PBSNT jelaskan bayaran tertunggak


KUANTAN: Bekas pemain Terengganu FC (TFC) merayu Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat segera menyelesaikan bayaran tertunggak yang dipersetujui dalam kontrak pemain musim ini.

Dalam perjanjian berkenaan, setiap pemain akan menerima sejumlah bayaran yang akan dibayar dua kali.

Namun kini selepas kontrak 12 pemain terbabit tamat PBSNT masih lagi berhutang dengan mereka hanya membayar 40 peratus sahaja dan kali terakhir bayaran dibuat bulan lalu sebanyak 20 peratus.

Seorang bekas pemain TFC yang enggan namanya disiarkan berkata, kes ini tidak berlaku sekiranya PBSNT mematuhi perjanjian dalam kontrak dibuat sebelum ini.

"Walaupun kami menerima gaji yang disediakan PBSNT ketika bersama TFC namun ini tidak bermakna pihak terbabit memandang mudah terhadap bayaran dijanjikan dalam kontrak.

"Saya berharap pihak terbabit dapat melunaskan baki 60 peratus bayaran terbabit untuk kegunaan pemain terutama bagi mereka yang masih tercari-cari pasukan baru," katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, amat besar bayaran terbabit bagi pemain terutama selepas memberi sepenuh tenaga dan kudrat ketika bersama pasukan TFC selama semusim.

Katanya, usaha sudah diberikan hanya nasib sahaja tidak menyebelahi TFC apabila gagal menyerlah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya bagi pihak 12 pemain terbabit merayu kepada PBSNT supaya dapat menyelesaikan tunggakan bayaran yang terdapat dalam kontrak antara pemain dengan PBSNT," katanya. Antara bekas pemain TFC musim ini ialah Khairu Azrin Khazali, Shahrul Aizat, Malik Mat Arif, Azraie Wan Teh, Syamim Yahya, Adib Aizuddin, Hasni Zaidi, Kipre Tchetche dan Khairul Anwar. - Berita Harian