Antena Untuk Gelombang Kedua Banjir


Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN, 7 Disember - Dua antena dinaikkan di Kampung Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangkakan pada 25 dan 26 Disember nanti.

Timbalan Presiden Radio Amatur Kemaman (RAK), Zawawi Mohamed ketika ditemui berkata, ianya perlu kerana pada banjir gelombang pertama, bekalan elektrik terputus dan talian telco tidak berfungsi di kampung tersebut.

"Kita mengambil inisiatif memasang antena ini untuk tujuan perhubungan memandangkan talian telco tidak berfungsi pada banjir tempoh hari.

"Air yang naik dengan mendadak dan laju melintasi jalan menyebabkan kenderaan tidak dapat melaluinya ke Kampung Sungai Mas dan kita terputus hubungan dengan mereka.

"Keadaan tersebut menyukarkan kerja-kerja bantuan dan menyelamat oleh agensi kerajaan yang terlibat," kata beliau yang juga selaku Pengarah Khidmat Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Ketua Kebajikan DUN Kijal itu menggerakkan petugasnya untuk menaikkan antena di kampung tersebut setelah mendapat persetujuan daripada Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Mas, Shardi Deraman, 47, berterima kasih kepada pihak DUN kerana mengambil cakna tentang banjir di kampung mereka.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Pengarah DUN Kijal dan RAK kerana mengambil berat tentang kami dan memandang serius perkara ini," katanya.

Dalam masa sama, Setiausaha MPKK Padang Kubu, Sudin Muda, 52, juga berharap dengan pemasangan antena radio ini akan memudahkan lagi kerja-kerja bantuan dan pemantuan semasa banjir.

Sumber: teganukita.net