Anak Terengganu Antara Pendakwah Wanita Terkenal

Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman berucap merasmikan Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera di Duyong Convention Centre 1, Duyong Marina & Resort, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Ustazah Asma' Harun, Prof Dr Muhaya Mohamad, Fatimah Syarha dan ramai lagi antara pendakwah dan anak jati negeri Terengganu yang terkenal dengan penampilan dakwah yang tersendiri.

Setiausaha Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, bumi Terengganu terus subur dengan kemunculan pendakwah wanita yang disegani sehingga ke seluruh pelusuk negara dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kelestariannya.

"Menjadi tanggungjawab kerajaan agar memastikan Terengganu tidak ketandusan para dai khususnya pendakwah wanita yang menjadi simbolik kepada syiar Islam itu sendiri,

"Justeru itu, usaha jangka pendek mahupun usaha jangka panjang amat perlu diambil dalam proses melahirkan pendakwah sebagaimana objektif penganjuran program kita pada petang ini," katanya ketika berucap merasmikan Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera di Duyong Convention Centre 1, Duyong Marina & Resort di sini baru-baru ini.


Tuan Roslina yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading berkata, dengan bermacam-macam cabaran yang ada di zaman gajet ini, pendakwah mestilah lebih banyak membuat persediaan dari segala segi dan menjadikan cabaran tersebut sebagai peluang untuk mengajak masyarakat kepada Islam.

Katanya, dalam usaha mendekati golongan sasaran dakwah, adalah perlu untuk membuat persediaan dari aspek ilmu pengetahuan, penampilan dan juga pendekatan yang lebih kreatif dan luar biasa agar netizen mudah terpaut dengan seruan dakwah.

"Ambillah inspirasi dan pedoman yang dicetuskan oleh para pendakwah selebriti yang tular namun niat kesemuanya hanya kerana untuk memartabatkan Islam, bukan untuk mengejar populariti semata-mata," tambah beliau.


Program anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu dihadiri seramai 247 peserta dan dikendalikan oleh Finalis Solehah TV Al-Hijrah, Mariyam Sa'ari yang membentangkan pengisian sarat tentang seni pengucapan dan penampilan sebagai pendakwah wanita yang berkredibiliti.

Turut hadir, isteri kepada ADUN Ajil, Paizah Ghazali dan wakil Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Sejahtera (PEWANIS), Rahimah Muda.

Sumber: teganukita.net