Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk yang turut ditenggelami air |
HULU TERENGGANU, 1 Disember -
"Air naik terlalu cepat dan saya tak sempat nak selamatkan barang-barang seperti biasa sebab ia diluar jangkaan kami," kata Zurida Mohamad, 42, mengenai kejadian banjir yang melanda Kampung Lubuk Periuk, Ajil, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.45 tengahari itu, hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan hampir sebilangan besar rumah di kampung terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga satu meter.
"Pagi tu air sikit je dan saya macam biasa lah tak ambil kisah sebab ikut pengalaman air takkan naik mendadak.
"Namun sangkaan saya meleset, air naik begitu cepat..macam laut dan saya cuma mampu bawa keluar anak-anak saya seramai tiga orang menaiki bot yang ditolak oleh orang-orang kampung ke PPS," ujarnya.
Dia berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di PPS Kg Lubuk Periuk, semalam.
Zurida Mohamad |
Kata Zurida, keadaan air terlalu deras dan laju menyukarkan pergerakan bot mereka untuk sampai dengan cepat ke PPS menyebabkannya trauma dengan keadaan berkenaan walaupun telah biasa mengalami situasi banjir yang saban tahun melanda.
Dia juga berkata, kejadian air memasuki PPS juga merupakan kejadian pertama kali berlaku kerana ketika peristiwa banjir besar 2014, air cuma sekitar bangunan PPS kg Lubuk Periuk sahaja.
Sumber: teganukita.net