Ahmad Shah Santuni Gelandangan Hentian Bas MBKT



Ahmad Shah beramah mesra bersama sebahagian gelandangan di hentian bas MBKT.


Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 29 Disember- Cakna dengan nasib para gelandangan di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lajnah Dakwah Kuala Terengganu membuat program menyantuni, memberi sumbangan dan dakwah kepada mereka.

Program yang dikenali sebagai ‘Street Dakwah Gelandangan’ itu diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed mendapat respon yang baik oleh para gelandangan di situ, baru-baru ini.

Ahmad Shah berkata, selain dari menyantuni gelandangan, beliau 'turun padang' untuk lebih mengenali di samping berusaha membantu para gelandangan ini dalam menambah baik kehidupan mereka.
Keadaan salah seorang gelandangan.

“Kedatangan kami mendapat respon positif dari mereka dan kami berusaha mencari ruang dalam membantu memperbaiki kehidupan mereka,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui dalam program tersebut.

Program berkenaan mendapat kerjasama yang baik daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan, antaranya ialah Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),  Pusat Khidmat Masyarat (PKM) Dun Bandar dan Majlis Tindakan Dun Bandar (MTDB).

Tambah Ahmad Shah lagi, sepanjang program itu, beliau mendapati majoriti mereka terdiri daripada golongan yang tersisih dari keluarga dan juga tidak mempunyai keluarga yang terpaksa memilih untuk hidup dalam keadaan tersebut.

“Kami turut simpati dengan keadaan mereka dan berharap dapat membantu melalui program-program seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Bergambar bersama pihak-pihak terlibat dalam program itu.




Sumber: teganukita.net