Afzan Impi Wakili Terengganu

Afzan mengalunkan ayat suci al-Quran sambil menggunakan naskhah al-Quran Braille.

KEMAMAN, 17 Disember- Kekurangan penglihatan tidak dijadikan alasan buat Afzan Mustaffa, 39, untuk mengatasi peserta lain apabila muncul johan qariah bagi Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah Kemaman.

Bahkan, Afzan turut membuktikan kemampuannya setelah berjaya mewakili daerah berkenaan buat kali ketiga berturut-turut ke peringkat negeri.

"Saya memang ada impian untuk wakili Terengganu. Tetapi bergantung kepada rezekilah, kalau tiada tahun ini, saya akan cuba lagi pada tahun-tahun akan datang.

"Cuma, pada peringkat negeri ini saya berharap dapat memperbaiki bacaan dan taranum saya supaya lebih baik," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), baru-baru ini.
Zaky dan Afzan, wakili Kemaman ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri.

Afzan turut berharap lebih ramai individu cacat penglihatan berusaha meningkatkan pengetahuan dengan mempelajari tulisan braille, lebih-lebih belajar mengaji menggunakannya.

"Bagi yang baru bermula, memang akan rasa susah pada permulaannya, tetapi ia memberikan kebaikan kepada diri untuk jangka masa panjang.

"Kalau sesiapa yang ingin belajar Braille, jangan risau kerana ada pertubuhan yang menawarkan perkhidmatan dalam bentuk kelas-kelas braille," nasihatnya.

Dalam pada itu, johan qari, Mohd Zaky Ismail, 35, turut mengingatkan tentang kepentingan menyemarakkan program-program tilawah al-Quran.

"Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi ia juga peluang untuk kita baiki tajwid dan juga bacaan kita. Kepada individu yang mempelajari taranum terutamanya, boleh menjadikan majlis tilawah sebagai medium memperbaiki bacaan," katanya yang juga pernah mewakili negeri Terengganu dalam Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan, dua tahun lalu.
Afzan memegang Al-Quran Braille yang digunakannya.

Kedua-dua mereka akan mewakili daerah itu ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri Terengganu yang akan berlangsung  di Kota Putera Square, Kampung Raja, Besut pada 21 hingga 23 Januari 2020 nanti.






Sumber: teganukita.net