SOALAN:
Jika nenek saya ada berpesan untuk mendermakan sejumlah wang kepada madrasah bila dia meninggal, adakah duit itu jadi sebahagian daripada harta pusaka?
JAWAPAN:
Menginfaqkan sesuatu kepada kebaikan merupakan perkara yang dituntut oleh agama Islam. ini kerana ganjaran kebajikan yang dilakukan itu akan dibawa hingga ke akhirat. Ini seperti mana hadis yang disampaikan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
“Apabila matinya manusia, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” [Riwayat Muslim (1631)]
Wasiat
Wasiat merupakan salah satu daripada inisiatif perancangkan kewangan Islam. Wasiat juga mempunyai hubung kait yang rapat dengan pembahagian harta pusaka. Ini kerana kedua-duanya diaplikasikan selepas berlakunya kematian empunya harta. Firman Allah SWT:
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, 180)
Jumhur para ulama’ menyatakan wasiat merupakan salah satu daripada cara pembahagian harta yang tidak diwajibkan ke atas seseorang. Ia dilakukan oleh kebanyakan para sahabat Baginda SAW. Para Fuqaha’ berpendapat disunatkan untuk mewasiatkan sebahagian daripada harta kepada jalan Allah SWT.
Selain itu, ayat di atas pemberian wasiat kepada ibu bapa dan saudara yang menerima harta warisan telah dimansuhkan dan hukum wasiat dikekalkan kepada saudara mara yang tidak menerima harta warisan. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/224)
Rukun Wasiat
Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa rukun wasiat terbahagi kepada empat iaitu Pewasiat, penerima wasiat, harta yang diwasiatkan dan lafaz wasiat.
• Pewasiat, disyaratkan bagi pewasiat hendaklah baligh, ini kerana wasiat merupakan tabarru’ dengan harta dan seseorang yang belum baligh tidak termasuk di dalam ahli tabarru’. Berakal merupakan syarat untuk pewasiat, maka tidak sah bagi seseorang yang gila. Selain itu, pewasiat mestilah mempunyai hak pemilihan, ini kerana wasiat akan berlaku selepas kematian, maka mestilah memerlukan keredhaan dan pilihan pemiliknya. Dan tidak sah wasiat sekiranya dalam keadaan terpaksa. Begitu juga, disyaratkan kepada pewasiat memiliki harta dengan hak pemilikan yang sempurna. Ini kerana hilang kelayakan sekiranya tidak memilikinya iaitu harta yang ingin diwasiatkan.
• Penerima wasiat, golongan yang mendapat manfaat iaitu:
i) Golongan yang dikhususkan iaitu pewasiat mewasiatkan kepada pihak yang tertentu. Tidak sah sekiranya wasiat itu ditujukan kepada salah seorang daripada dua orang yang tidak pasti menerima wasiat tersebut. Disyaratkan kepada penerima wasiat hendaklah golongan yang layak memiliki harta ketika kematian pewasiat. Tidak sah penerima wasiat dari kalangan orang yang mati melainkan dikhususkan kepada pewarisnya dan tidak sah diwasiatkan kepada haiwan. Selain itu, penerima wasiat itu mestilah wujud ketika wasiat dibuat.
ii) Golongan yang tidak dikhususkan iaitu wasiat itu diberikan secara umum seperti fakir miskin, masjid, sekolah, orang yang berjihad di jalan Allah SWT, saudara-mara, pesakit, ahli Zimmah dan juga wasiat kepada golongan yang mengerjakan haji dan umrah. Dan disyaratkan wasiat itu dari sudut yang umum dan bukanlah bertujuan untuk melakukan kemaksiatan seperti membina gereja. Sama ada penerima wasiat itu dari golongan muslim atau tidak.
• Harta yang diwasiatkan, ialah setiap benda atau harta yang harus diberikan manfaat. Disyaratkan harta wasiat itu mestilah bertujuan yang bermanfaat, dan tidak sah wasiat harta bertujuan untuk kemasiatan dan perkara yang haram seperti mewasiatkan arak dan khinzir. Yang diwasiat itu mestilah boleh dipindah milik dari seseorang kepada seseorang. Dan sekiranya harta itu tidak boleh diterima oleh penerima wasiat maka tidak sah mewasiatkan harta itu.
• Lafaz wasiat, yang dimaksudkan dengan lafaz wasiat ialah termasuk lafaz ijab dan qabul. Lafaz wasiat sama ada dilafazkan dalam bentuk jelas seperti “aku mewasiatkan kepada kamu dengan ini” atau secara kabur berserta dengan niat seperti “rumahku ini untuk Zaid”. Dan diterima akad wasiat dalam bentuk penulisan berserta dengan niat dengan syarat boleh ditentukan penulisan pewasiat dengan pengesahan daripada waris atau pembuktian saksi dan sebagainya.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/543-554)
Had Wasiat
Menurut apa yang terdapat di dalam al-Fiqh al-Manhaji, pewasiat digalakkan untuk tidak mewasiatkan melebihi satu pertiga daripada hartanya. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abu Waqas R.A:
عَادَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ مِنْ وَجَعٍ أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى الْمَوْتِ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ بَلَغَنِي مَا تَرَى مِنَ الْوَجَعِ وَأَنَا ذُو مَالٍ وَلاَ يَرِثُنِي إِلاَّ ابْنَةٌ لِي وَاحِدَةٌ، أَفَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثَىْ مَالِي قَالَ: لاَ. قَالَ قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقُ بِشَطْرِهِ؟ قَالَ: لاَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِي فِي امْرَأَتِكَ
“Rasulullah SAW menziarahiku ketika Haji Wada’, ketika aku sedang sakit tenat hampir mati. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, aku kini tenat dan aku seorang yang berharta, sedangkan aku tiada waris kecuali seorang anak perempuan. Apakah boleh aku bersedekah dua pertiga hartaku?” Baginda menjawab: “Tidak.” Aku bertanya: “Apakah boleh aku bersedekah separuh hartaku?” Baginda menjawab: “Tidak, satu pertiga sahaja, satu pertiga pun sudah banyak. Sekiranya kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu tinggal mereka dalam keadaan miskin meminta-minta daripada orang ramai. Segala perbelanjaan yang kamu keluarkan semata-mata untuk keredhaan Allah, nescaya kamu akan mendapat ganjarannya, termasuklah sesuap nasi yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” [Riwayat Muslim (1628)]
Mengikut pandangan Mazhab Syafi’e, memberi wasiat melebihi daripada satu pertiga adalah makruh akan tetapi sah wasiatnya. Namun, lebihan daripada satu pertiga itu mestilah mendapat persetujuan kesemua waris si mati. Sekiranya mereka menolak, maka lebihan wasiat itu terbatal menurut ijma’ ulama’. Ini kerana lebihan itu merupakan hak-hak pewaris si mati. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 5/54)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan berdasarkan kepada penelitian dalil yangg diberikan, dapat disimpulkan bahawa wang yang didermakan itu termasuk di dalam wasiat dan wajib ditunaikan sekiranya tidak melebihi satu pertiga daripada hartanya.
Dan sekiranya wang yang ingin didermakan itu melebihi daripada satu pertiga harta peninggalannya maka lebihan daripada satu pertiga itu mestilah mendapat persetujuan kesemua ahli waris yang menerima harta peninggalan itu.
Oleh itu, wasiat yang tidak melebihi satu pertiga itu dikira setelah dijelaskan segala hutang dan pengurusan jenazah. Firman Allah SWT:
مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
“(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah al-Nisa’, 11)
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media