SOALAN:
Ketika ambil wudhu’, tengah sapu telinga, teringat sama ada sudah sapu lengan atau belum? Adakah perlu ulang dari awal atau boleh terus sapu lengan?
JAWAPAN:
Soalan di atas sebenarnya berkaitan dengan rukun tertib dalam tatacara wudhu’. Secara asas, melaksanakan rukun-rukun wudhu’ secara tertib, atau mengikut susunan tertentu, adalah kewajiban dalam wudhu’. Jika seseorang itu gagal menurutinya maka wudhu’nya adalah tidak sah. Ini berdalilkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah: 6)
Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili: “Maka ayat ini memberitahu bahawa fardhu-fardhu wudhu’ itu adalah tersusun, dimasukkan sapuan (yakni sapu kepala) antara dua basuhan, lalu menunjukkan tujuan (syarak) untuk mewajibkan tertib, dan kerana dilaksanakan Nabi SAW sebegitu caranya, sesungguhnya Baginda tidak pernah berwudhu’ melainkan dalam keadaan tertib, seperti mana yang datang dalam ayat itu, dan seperti mana yang disabdakan ketika haji wida’:
ابْدَؤُوا بِمَا بَدَأَ اللهُ بِهِ
“Hendaklah kamu mulakan dengan apa yang Allah mulakan dengannya.” [Riwayat al-Nasaie (3968)]
Hadis ini diambil ibrah (hukum) daripada keumuman lafaznya. Justeru jika ditinggalkan tertib secara sengaja maka tidak sah wudhu’nya.” [Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/81-82)]
Namun begitu, perbuatan sedikit atau banyak, sekejap atau lama, yang berlaku di antara-antara fardhu-fardhu wudhu’ tidak membatalkan wudhu’ itu secara keseluruhan. Ini dibincangkan dalam perkara-perkara sunat dalam wudhu’ yakni al-muwalah atau berturut-turut.
Disebut dalam kitab al-Mu`tamad (1/81-82): “Al-Muwalat itu ialah berturut-turut antara perbuatan-perbuatan wudhu’, dari segi tidak berlaku antara keduanya apa yang dianggap sebagai pemisah pada pandangan uruf, yakni dengan kadar yang boleh mengeringkan air pada anggota wudhu’ dengan cuaca yang sederhana. Berturut-turut dalam wudhu’ adalah digalakkan kerana mengikut sunnah Nabi SAW ketika berwudhu’.
Al-tafriq (perkara-perkara yang menyelangi) yang sedikit, atau tidak ketara, antara anggota wudhu’ tidak memudaratkan, berdasarkan ijmal, dan tidak membatalkan wudhu’ (mengikut mazhab Syafie) dengan tafriq yang banyak, kerana wudhu’ adalah ibadah yang tidak batal dengan tafriq yang sedikit mahupun banyak seperti pembahagian zakat, amalan-amalan dalam haji (tidak seperti solat yang batal dengan perbuatan yang banyak, dengan sengaja dan tanpa keperluan). Ini juga kerana Allah memerintahkan membasuh anggota-anggota wudhu’ tanpa mewajibkan berturut-turut.
Nafi` (bekas hamba Ibn Umar) meriwayatkan: “Bahawa Ibn Umar (R.Anhuma) berwudhu’ dalam sebuah pasar. Dia membasuh muka, kedua-dua tangannya dan menyapu kepalanya, kemudian dia mendapat seruan untuk solat jenazah. Lalu dia masuk ke dalam masjid, kemudian menyapu khufnya setelah air wudhu’nya tadi sudah kering lalu dia bersolat. [Riwayat al-Baihaqi (397) dengan sanad yang sahih].”
Ibn Umar melakukan perkara itu dengan kehadiran orang yang menguruskan jenazah dan tiada siapa yang mengingkari beliau. Begitu juga jika tafriq itu lama sekalipun kerana suatu uzur maka tidak memudaratkan jua.”
Perkara ini dihuraikan dengan lebih terperinci oleh Imam al-Nawawi:
إذَا تَوَضَّأَ مُنَكِّسًا فَبَدَأَ بِرِجْلَيْهِ ثُمَّ رَأْسِهِ ثُمَّ يَدَيْهِ ثُمَّ وَجْهِهِ لَمْ يَحْصُلْ لَهُ إلَّا الْوَجْهُ إنْ قَارَنَتْهُ النِّيَّةُ فَإِنْ تَوَضَّأَ منكسا ثانيا وثالثا ورابعا ثم وضؤه وَلَوْ تَوَضَّأَ وَنَسِيَ أَحَدَ أَعْضَائِهِ وَلَمْ يَعْرِفْهُ اسْتَأْنَفَ الْوُضُوءَ لِاحْتِمَالِ أَنَّهُ الْوَجْهُ وَلَوْ تَرَكَ مَوْضِعًا مِنْ وَجْهِهِ غَسَلَ ذَلِكَ الْمَوْضِعَ وَأَعَادَ مَا بَعْدَ الْوَجْهِ فَإِنْ لَمْ يَعْرِفْ مَوْضِعَهُ اسْتَأْنَفَ الْجَمِيعَ
“Jika seseorang berwudhu’ secara terbalik, yakni dia memulakan dengan (membasuh) dua-dua kakinya, kemudian (menyapu) kepalanya, kemudian dua-dua tangannya, kemudian mukanya, maka tidak berhasil (tidak sah fardhu-fardhunya) melainkan mukanya sahaja jika dia menyertakan niat ketika membasuh muka. Jika dia berwudhu’ secara terbalik dua, tiga dan empat kali, maka sempurnalah wudhu’nya. Jika dia berwudhu’ dan terlupa salah satu daripada anggota wudhu’ dalam keadaan dia tidak ingat bahagian mana, maka hendaklah diulangi semula wudhu’ (daripada awal).” [Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (1/448)]
Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami menyimpulkan seperti berikut:
1. Mengambil wudhu’ dengan menyapu air di lengan adalah tidak memadai. Wajib membasuh anggota wudhu’ seumpama lengan dengan mengalirkan air ke atasnya sehingga meliputi kawasan yang wajib dibasuh. Perbezaan antara “basuh” dan “sapu” ialah basuh mewajibkan air yang mengalir sedangkan sapu memadai dengan sapuan dengan tapak tangan yang basah atau lembab dengan air sekalipun tidak mengalir dengan syarat berpindah air itu ke ke sebahagian rambut atau kepala. [Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (1/410)]
2. Sekiranya seseorang yang sedang menyapu telinga teringat ataupun syak sama ada dia sudah basuh lengan atau belum, sedangkan tiada bukti seperti kebasahan pada lengannya, maka dia tidak wajib memulakan semula wudhu’nya daripada muka, sebaliknya hanya perlu membasuh lengan dan tangannya yang wajib dibasuh, kemudian mengulangi semula sapuan kepala dan seterusnya.
3. Seseorang itu tidak perlu mengulang daripada awal kerana kesilapan tersebut. Ini kerana:
- Ia tidak membatalkan rukun tertib.
- Berturut-turut antara anggota wudhu’ atau al-muwalah juga adalah sunat wudhu’ dan bukan wajib. Jika seseorang meninggalkannya maka tidak merosakkan kesahihan wudhu’ apatah lagi jika dilakukan kerana terlupa.
- Perbuatan yang banyak dan masa yang lama, yang berlaku antara fardhu-fardhu wudhu’ tidak membatalkan secara mutlak wudhu’ tersebut.
Semoga penjelasan di atas memberikan manfaat kepada kita semua. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media