Ahmad Samsuri. |
KUALA TERENGGANU, 10 November - Kerajaan Terengganu melalui Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi akan memastikan semua pusat tahfiz di negeri itu berdaftar dengan badan berautoriti.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi merangka pertemuan bersama pengurusan di pusat tahfiz yang belum berdaftar.
Katanya, pertemuan dua hala itu akan membincangkan langkah terbaik demi memastikan setiap pusat tahfiz mampu beroperasi dengan lebih baik.
“Secara keseluruhan tidak semua sekolah tahfiz di Terengganu telah berdaftar. Masih ada peratusan kecil yang belum mendaftar, tetapi daripada apa yang kita terima, mereka positif untuk mendaftar.
“Pendaftaran sekolah tahfiz amat penting bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan dengan penderaan dan seumpamanya selain mengawal selia perkara lain daripada aspek keselamatan, keceriaan, kesihatan pelajar tahfiz,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah pusat tahfiz persendirian di Terengganu yang belum berdaftar, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan ke atas institusi berkenaan termasuk yang masih belum berdaftar di negeri itu.
“Kita akan terus memantau aspek-aspek keselamatan di pusat tahfiz ini termasuk yang belum berdaftar.
“Walaupun ia tidak secara langsung di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun kita berperanan untuk memastikan aspek-aspek ini terjaga,” katanya.
Ia berikutan seorang pelajar lelaki di sebuah maahad tahfiz meninggal dunia dipercayai dipukul rakannya di Lanchang, di Temerloh, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa berusia tujuh tahun ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal.
Siasatan pihak polis mendapati maahad berkenaan beroperasi tanpa mendapat kebenaran dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Maahad berkenaan hanya mempunyai empat pelajar sahaja termasuk mangsa dan ia mula beroperasi sejak Januari lalu.
Sumber: teganukita.net