Susulan kes 'team leader' tikam rakan sekerjanya kerana datang lewat dalam kejadian yang berlaku di sebuah syarikat kurier, Balik Pulau, ahli keluarga memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal dan sedang bertarung nyawa serta dipantau oleh doktor pakar.
Menurut Zae Nothern, Aidil Azran kini ditempatkan di bawah pemantauan doktor pakar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan pada 19 November lalu, doktor memaklumkan tangan Aidil perlu dipotong bagi menyelamatkan nyawanya, tetapi pembedahan dibatalkan berikutan badan mangsa masih lemah.
"20 November, Aidil ditahan di wad kerana badan masih lemah. Doktor nak pastikan badan dia cukup stabil untuk pembedahan. Dalam masa yang sama, doktor juga memantau perkembangan tangannya dan akan cuba sedaya upaya jika ada tanda-tanda positif untuk tidak dipotong.
"Menurut doktor, pada waktu ini tangannya masih hidup. Cuma sekarang ada masalah di bahagian usus. Waris dah tandatangan untuk benarkan pembedahan di bahagian perut.
"Jam 8 malam, Aidil selesai menjalani pembedahan dan dipindahkan ke ICU untuk rawatan selanjutnya. Pihak keluarga masih menunggu keputusan.
"21 November, Adil masih kritikal dan tidak sedarkan diri. Keputusan pembedahan semalam masih belum diketahui kerana perut Aidil makin membesar. Sekarang pihak ICU menunggu doktor pakar untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Zae memohon orang ramai mendoakan Aidil diberikan kesembuhan. Selain itu, Zae turut berterima kasih kepada pihak syarikat kurier yang mengambil berat terhadap mangsa, serta jiran dan tunang suspek turut datang melawat dan mengikuti perkembangan Aidil.
Terdahulu, mangsa ditikam oleh suspek kerana didakwa kerap datang lewat ke tempat kerja sehingga menyebabkan suspek terpaksa melakukan kerja-kerja di premis itu seorang diri.
Sumber: Zae Nothern
LAPORAN BERKAITAN
Sumber : thereporter.my