Selepas Pahang, Johor pula mahu laksanakan 'Cukai Katil' terhadap pelancong


Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang menginap di hotel-hotel di negeri ini.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, pihaknya kini sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaannya dan kadar cukai yang akan dikenakan.

“Namun begitu, kadar cukai yang akan dikenakan tersebut pastilah tidak terlalu tinggi,” katanya menjawab soalan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (BN-Penawar) dan Ng Yak Howe (PH-Bentayan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Sharifah Azizah dan Yak Howe terdahulu bertanyakan mengenai jumlah peruntukan yang digunakan untuk meningkatkan kadar ketibaan pelancong di Johor dan jumlah cukai pelancongan yang dikembalikan kepada Johor sejak tahun lepas sehingga kini.

Cai Tung berkata, Johor berjaya mengutip cukai pelancongan sebanyak RM15.8 juta tahun lepas sekali gus mencatatkan negeri keempat tertinggi selepas Sabah, Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau berkata, cukai pelancongan itu dikutip oleh Kastam Diraja Malaysia berdasarkan Akta Cukai Pelancongan 2017 yang mana kutipan RM10 dikenakan ke atas pelancong luar negara yang menginap semalam bagi setiap bilik di hotel penginapan.

“Pada 27 Mac lepas, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan mengagihkan 50 peratus daripada kadar kutipan cukai pelancongan 2018 kepada kerajaan negeri masing-masing. Oleh yang demikian, Johor menerima sejumlah RM7.99 juta sebagai hasil baharu kerajaan negeri.

Agihan 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan ini adalah sebagai satu pemberian baharu kepada kerajaan negeri yang dikenali sebagai ‘pemberian pelancongan’,” katanya menambah pemberian pelancongan itu bertujuan membolehkan sektor pelancongan dan kebudayaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, lestari dan inklusif dalam memacu industri pelancongan.

Katanya, tahun lepas, Tourism Johor memperuntukkan RM6.47 juta bagi pembangunan pelancongan manakala sebanyak RM5.48 juta tahun ini yang digunakan bagi melaksanakan promosi produk pelancongan, menaik taraf kemudahan infrastruktur di destinasi pelancongan, latihan untuk peserta industri pelancongan serta program-program pembangunan terhadap kempen pelancongan.

Beliau berkata, kerajaan Johor optimis dengan penetapan sasaran kehadiran pelancong seramai 16.6 juta orang tahun ini dan yakin ia dapat dicapai berdasarkan kehadiran 14.44 juta pelancong pada 2017 dan 15.85 juta orang tahun lepas.

“Ia disumbang melalui kesungguhan pihak kerajaan negeri bersama jabatan dan agensi berkaitan menjalankan aktiviti promosi pelancongan secara berterusan dan menyeluruh. Hasilnya, Johor menerima manfaat balik dari bentuk perbelanjaan pelancongan yang mana Johor menerima sejumlah RM23.43 bilion pada 2017 dan RM24.8 bilion pada 2018.

“Maka, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM26.04 bilion pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, menerusi kempen Tahun Melawat Johor 2020, kerajaan Johor menetapkan sasaran kehadiran 18.4 juta orang pelawat dan 8.4 juta orang pelancong bermalam di negeri ini.

"Maka, dengan sasaran itu, kerajaan Johor menetapkan sasaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM27.32 bilion sepanjang tahun 2020," katanya.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my