Kuala Terengganu: Khidmat Seorang penyerang dan seorang pertahanan tengah import akan ditandatangani pasukan Terengganu Football Club (TFC) sebelum bermulanya latihan pramusim, awal disember depan.
Perkembangan tersebut dilaporkan oleh portal berita tempatan, The Star pada hari ini. Selain daripada dua pemain import tersebut, terdapat beberapa pemain tempatan akan dibawa masuk untuk memperkukuhkan lagi pasukan berpengkalan di pantai timur itu.
Pengendalinya, Nafuzi Zain turut mendedahkan skuad yang akan menggalas cabaran Liga Malaysia 2020 hampir lengkap dan kebanyakannya diisi oleh pemain-pemain muda kelahiran negeri tersebut.
Pemain-pemain muda tersebut meraih kepercayaan Nafuzi selepas menampilkan aksi cemerlang di kejohanan Sheikh Kamal International Club Cup serta yakin dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan yang akan diterapkannya.
“Baru-baru ini, kami memenangi kejohanan jemputan di Bangldesh. Kami bawa beberapa pemain muda menyertai kejohanan tersebut dan saya kagum melihat bakat mereka,”
“Terengganu ada corak permainannya tersendiri dan kami mahu anak tempatan bermain untuk kami. Kami perlu ada gaya kami tersendiri.” kata Nafuzi kepada The Star.
Terengganu FC mengekalkan 13 pemain daripada musim 2019 dan dua daripadanya merupakan pemain import iaitu kapten pasukan, Lee Tuck dan pemain import kuota asia, Sanjar Shaakhmedov.
Dan minggu lalu, mereka telah mengumumkan mendapatkan seorang lagi import baharu dari Singapura iaitu, Faris Ramli. Pemain yang sering beraksi di posisi sayap ini mengisi kuota pemain import ASEAN. - Foxsports