Orang Yang Layak Dicemburui


Pada asalnya, sifat iri hati atau cemburu terhadap kelebihan orang lain dalam Islam tidak dibenarkan. Ini kerana sifat tersebut mempunyai prasangka buruk kepada Allah dan tidak redha dengan pemberian yang Allah rezekikan kepada makhluk-Nya. Akan tetapi, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengecualikan beberapa orang yang boleh dan layak untuk dicemburui kerana kelebihan yang mereka miliki. Siapakah mereka?

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ عَلَّمَهُ اللَّهُ القُرْآنَ، فَهُوَ يَتْلُوهُ آنَاءَ اللَّيْلِ، وَآنَاءَ النَّهَارِ، فَسَمِعَهُ جَارٌ لَهُ، فَقَالَ: لَيْتَنِي أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ فُلاَنٌ، فَعَمِلْتُ مِثْلَ مَا يَعْمَلُ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يُهْلِكُهُ فِي الحَقِّ، فَقَالَ رَجُلٌ: لَيْتَنِي أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ فُلاَنٌ، فَعَمِلْتُ مِثْلَ مَا يَعْمَلُ
“Tidak ada (sifat) iri hati (yang terpuji) kecuali pada dua orang; seorang yang difahamkan oleh Allah tentang al-Quran, kemudian dia membacanya di waktu malam dan siang hari, lalu salah seorang jirannya mendengarkan (bacaan)nya dan berkata: “Duhai kiranya aku diberi (pemahaman al-Quran) seperti yang diberikan kepada si Fulan, sehingga aku dapat mengamalkan seperti yang diamalkannya.” Dan seorang yang dilimpahkan oleh Allah baginya harta (yang berlimpah) kemudian dia membelanjakannya di (jalan) yang benar, lalu ada orang lain yang berkata: “Duhai kiranya aku diberi (kelebihan harta) seperti yang diberikan kepada si Fulan, sehingga aku dapat mengamalkan (bersedekah di jalan Allah) seperti yang diamalkannya.” (HR. Al-Bukhari)

Maksud “cemburu” dalam hadith ini adalah cemburu yang benar dan tidak tercela, iaitu al-gibthah, yang ertinya menginginkan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain tanpa mengharapkan hilangnya nikmat itu dari orang tersebut. [Lihat: Siyaru alaamin nubalaa’ (8/437)]

Cuba perhatikan dan renungkan hadith ini dengan saksama. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan dua golongan manusia yang layak untuk dicemburui, iaitu orang yang memahami al-Quran dan mengamalkannya serta orang yang memiliki harta dan menginfakkannya di jalan Allah.

Dalam hadith ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan sebab yang menjadikan mereka layak untuk dicemburui, bukan kerana kelebihan dunia semata yang mereka miliki, tapi kerana mereka mampu untuk menundukkan hawa nafsu yang mencintai dunia secara berlebihan, sehingga harta yang dimiliki tidak menghalangi mereka untuk meraih keutamaan tinggi di sisi Allah.

Inilah kelebihan sejati yang layak dicemburui, adapun kelebihan harta atau kedudukan duniawi semata maka ini sangat tidak layak untuk dicemburui, kerana hakikatnya bukan merupakan kelebihan tapi celaan dan fitnah bagi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sesungguhnya pada setiap umat (kaum) ada fitnah (yang merusak/menyesatkan mereka) dan fitnah (pada) umatku adalah harta.” [HR. at-Tirmidzi (no. 2336), sahih, Ahmad (4/160)]

Oleh itu, cemburu hanya kerana kelebihan harta yang dimiliki seseorang tanpa melihat bagaimana penggunaan harta tersebut adalah sifat yang sangat tercela. Allah berfirman tentang orang-orang yang cemburu melihat harta kekayaan Qarun:

{فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ. وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ. فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِنْ فِئَةٍ يَنْصُرُونَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنْتَصِرِينَ. وَأَصْبَحَ الَّذِينَ تَمَنَّوْا مَكَانَهُ بِالْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَوْلَا أَنْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا وَيْكَأَنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ}
“Maka keluarlah dia (Qarun) kepada kaumnya dengan perhiasannya (harta bendanya). Orang-orang yang menginginkan kehidupan dunia berkata: “Duhai kiranya kami mempunyai harta kekayaan seperti yang diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar.” Tetapi orang-orang yang dianugerahi ilmu berkata: “Celakalah kalian! Ketahuilah, pahala dari Allah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan (pahala yang besar) itu hanya diperoleh oleh orang-orang yang sabar.” Maka kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang (mampu) menolongnya selain Allah, dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri. Dan jadilah orang-orang yang dahulunya berangan-angan kedudukan (harta benda) Qarun itu berkata: “Aduhai, benarlah kiranya Allah yang melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan membatasi (bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya). Sekiranya Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya kepada kita, tentu Dia telah membenamkan kita pula. Aduhai, benarlah kiranya tidak akan beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah).” (Al-Qasas: 79-92)

Adapun contoh sikap cemburu yang benar adalah sikap cemburu dalam kebaikan yang ditunjukkan oleh orang-orang yang sempurna iman mereka, para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith berikut, dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu dia berkata:

“Orang-orang miskin (dari para sahabat Rasulullah) pernah datang menemui beliau shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka berkata: “Wahai Rasulullah, orang-orang (kaya) yang memiliki harta yang melimpah boleh mendapatkan pahala (dari harta mereka), kedudukan yang tinggi (di sisi Allah Taala) dan kenikmatan yang abadi (di syurga) kerana mereka melaksanakan solat seperti kami melaksanakan solat dan mereka juga berpuasa seperti kami berpuasa, tapi mereka memiliki kelebihan harta yang mereka gunakan untuk menunaikan ibadah Haji, Umrah, jihad dan sedekah, sedangkan kami tidak memiliki harta.”

Di akhir hadith ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Itu adalah kurnia (dari) Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.” [HR. al-Bukhari (no. 807 dan 5970) dan Muslim (no. 595)]

Imam Ibnu Hajar berkata: “Dalam hadith ini (terdapat dalil yang menunjukkan) lebih utamanya orang kaya yang menunaikan hak-hak (Allah Taala) pada (harta) kekayaannya dibandingkan orang miskin, kerana berinfak di jalan Allah (seperti yang disebutkan dalam hadith di atas) hanya dapat dilakukan oleh orang kaya.” [Lihat: Fathul Baari (3/298)]

Kesimpulannya, termasuk orang yang layak dicemburui, bahkan kecemburuan tersebut dipuji dalam Islam adalah orang yang memiliki kelebihan dalam harta tapi dia selalu menginfakkan hartanya di jalan Allah. Kerana kecemburuan ini dapat menjadi motivasi untuk berlumba-lumba dalam kebaikan yang diperintahkan dalam agama. Allah berfirman:

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan.” (Al-Baqarah: 148)

Jadi cemburu kepada kelebihan harta yang dimiliki seseorang bukan kerana kelebihan harta yang dimilikinya semata-mata, akan tetapi kerana motivasi kebaikan besar yang dimilikinya dengan banyak membelanjakan hartanya di jalan Allah. Inilah sebaik-baik harta yang dimiliki oleh orang yang beriman, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sebaik-baik harta yang soleh (penuh berkat) adalah untuk hamba yang soleh.”

Adapun sifat rakus dan bercita-cita secara berlebihan terhadap harta tanpa mempertimbangkan keberkatan dan manfaatnya dalam meraih keredhaan Allah maka ini perbuatan tercela dan sebab yang akan merosakkan keimanan seorang hamba, serta menjadikannya jauh dari segala kebaikan dunia dan akhirat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan/tidak pernah merasa cukup (selalu ada) di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan/selalu merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).” [HR. Ibnu Majah (no. 4105), Ahmad (5/183), ad-Darimi (no. 229), Ibnu Hibban (no. 680) dan lain-lain dengan sanad yang sahih]

Semoga Allah memudahkan kita untuk selalu berlumba-lumba dalam kebaikan dan ketaatan kepada-Nya.

Oleh: Abdullah bin Taslim al-Buthoni
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media