SOALAN:
Apakah dibolehkan mentashihkan hadith melalui kasyaf atau mimpi?
JAWAPAN:
Dalam menilai kesahihan sesuatu hadith, ia perlu kembali kepada metod atau manhaj para ulama'. Ini kerana tugas mentashihkan sesuatu hadith adalah satu tugasan yang berat kerana ia berkait rapat dengan sosok tubuh junjungan yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, di sana terdapat banyak hadith yang sebahagiannya berstatus mutawatir berkaitan menyandarkan sesuatu perkara yang tidak diucapkan atau dilakukan oleh Baginda SAW. Antaranya:
Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]
مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (108)]
مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak perah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (109)]
Tambahan pula, dalam menilai sesuatu hadith ia perlu melalui satu proses yang teliti seperti melihat pada aspek al-Dirayah dan juga al-Riwayah. Apabila sesuatu hadith itu menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan, barulah ia boleh dikatakan sebagai hadith yang sahih.
Berdasarkan persoalan di atas, kasyaf dari sudut bahasa bererti mengangkat hijab dan pada sudut istilah ialah sesuatu yang dicampak ke dalam hati dengan cara anugerah dari makna ghaibi dan perkara hakiki secara wujud dan syuhud. [Lihat: al-Ta’rifat, 237]
Tambahan pula, mentashihkan atau mengdhaifkan sesuatu hadith adalah termasuk di dalam perkara ijtihad yang terbina daripada kajian, penelitian, penilaian terhadap pandangan-pandangan para ulama' dan pemerhatian secara menyeluruh dari sudut kecacatan, sokongan yang terdapat pada hadith dan sebagainya.
Justeru, penilaian terhadap hadith memerlukan penguasaan yang baik terhadap prinsip-prinsip atau disiplin-disiplin ilmu hadith khususnya. Oleh itu, kasyaf atau mimpi tidak boleh dijadikan ukuran dalam menentukan status sebuah hadith kerana ia tidak melalui proses-proses yang kami nyatakan di atas.
Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani ada mengkritik pandangan Ibn ‘Arabi di dalam kitabnya Kasyf al-Khafa’: “Boleh jadi hadith itu sahih berdasarkan kepada jalur perawi-perawinya tetapi di sisi individu yang kasyaf ini hadith tersebut tidak sahih berdasarkan soalannya kepada Rasulullah SAW. Maka diketahui daripada itu (persoalannya) akan kepalsuannya dan ditinggalkan riwayatnya walaupun ia diamalkan oleh ahli hadith disebabkan kesahihan jalurnya. Boleh jadi hadith itu ditinggalkan amalannya disebabkan dhaif jalurnya atau disebabkan terdapat pemalsu hadith di dalam jalur hadith tersebut, tetapi ia sahih di sisi individu yang kasyaf ini apabila bertemu dengan Nabi SAW.” [Lihat: Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, 1/10]
Di dalam kitab Fath al-‘Aliy oleh al-‘Allamah ‘Illish berkata: “Sebagaimana yang dimaklumi bahawa setiap individu yang mengatakan hadith-hadith tidak tsabit melainkan perlu melihat kepada sanad-sanadnya dan bukannya dengan al-Kasyf atau cahaya-cahaya hati.” [Lihat: Fath al-‘Aliy, 1/54]
Penutup
Kesimpulannya, mengtashih atau mengdhaifkan sesuatu hadith melalui cara kasyaf atau mimpi adalah satu dakwaan yang bathil. Ini kerana, sekiranya hal ini dibenarkan maka ia akan merosakkan kaedah-kaedah atau metod yang telah disusun oleh ahli hadith. Selain itu, dalam isu mengtashih atau mengdhaifkan sesuatu hadith, ia perlu melalui sekurang-kurangnya dua marhalah (peringkat) iaitu mengetahui akan kedudukan hadith dan kajian terhadap sanad-sanad hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah kita daripada mengucapkan atau menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media