KWSP Daftar 120 Penerima Baru i-Suri DUN Kemasik

Pendaftaran KWSP sedang berjalan. Foto oleh - Ahmad Syahid Adnan
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 20 November - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya mendaftar 120 orang penerima baharu Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dalam Program Jelajah i-Suri DUN (Dewan Undangan Negeri) Kemasik 2019 di sini kelmarin.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP Kemaman, Zainal Abidin Mohamad berkata, program jelajah ke setiap kawasan DUN diadakan untuk memudahkan mereka yang layak, mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai i-Suri.

“Sambutan mereka yang berjaya terpilih untuk mendaftar masih kurang, sedangkan ramai yang tidak terpilih sangat berminat.


“Jangan bimbang, walaupun tidak hadir hari ini, mereka boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP berdekatan untuk membuat pendaftaran,” katanya.

Tambah Zainal Abidin, i-Suri merupakan suatu skim bertujuan membela nasib, memperkasa dan meningkatkan martabat wanita di Malaysia.

“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka.

“Individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60, bantuan hilang upaya dan bantuan kematian.


“Jumlah caruman dari pihak kerajaan adalah sehingga RM480 setahun,” kata beliau di program yang diadakan di Dewan Sivik Kertih.

Semasa pendaftaran serupa tahun lepas, seramai 160 penerima telah berjaya didaftarkan dan sehingga kini masih terdapat baki 272 penerima dari DUN Kemasik yang layak tetapi gagal membuka akaun KWSP sebagai syarat pendaftaran i-Suri.

Sumber: teganukita.net