Hukum Wanita Tunai Umrah Tanpa Mahram


SOALAN:
Saya ingin bertanya sama ada wanita tanpa mahram boleh menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah atau pun tidak ya? Ini pertama kali saya mahu menunaikan umrah. Sebab saya pernah terdengar yang wanita tidak boleh untuk bermusafir kalau tiada mahram. Musyklil saya dibuatnya.

JAWAPAN:
Umrah merupakan salah satu ibadah yang wajib untuk ditunaikan. Apatah lagi bagi seorang wanita, Umrah adalah satu jihad baginya. Ini berdasarkan pertanyaan Ummul Mukminin Aisyah R.anha. Beliau berkata:

‎يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
“Wahai Rasulullah, adakah ada jihad untuk para wanita. Rasulullah SAW menjawab : Ya, mereka wajib berjihad tetapi jihad yang tiada peperangan di dalamnya iaitu Haji dan Umrah.” [Riwayat Ibnu Majah (3013)]


Al-San’ani menyebut bahawa Nabi SAW menyamakan jihad dengan Haji dan Umrah adalah kerana di dalam kedua-dua amalan tersebut adanya kepayahan dan kesusahan. (Rujuk Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram, 1/91)

Kata Ibnu Ruslan:

‎الحّجّ فَرضٌ وكذاك عمرة # لم يجبا في العمر غيرَ مرّة
“Haji adalah satu kefarduan begitu juga umrah. Kedua-duanya diwajibkan sekali seumur hidup.”

Begitu juga hukum menunaikan umrah tanpa mahram seperti soalan yang dikemukakan adalah terkait dengan hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadis yang sahih. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

‎لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
“Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.” [Riwayat Al-Bukhari (1729) & Muslim (2391)]


Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda:

‎لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
“Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalanan kecuali bersamanya ada mahram.” [Riwayat Muslim (1339)]


Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama’ membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, para ulama’ ketika membincangkan berkenaan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah, mereka membahagikannya kepada dua iaitu kemampuan secara langsung iaitu yang terkait kepada dirinya seperti mempunyai kesihatan dan kewangan yang cukup.

Yang kedua adalah kemampuan tidak langsung iaitu mempunyai kewangan yang cukup tapi tidak mampu untuk pergi kerana sakit dan sebagainya. Dia wajib untuk mengupah seseorang menunaikan bagi pihaknya.

Bagi wanita, para ulama’ menambahkan beberapa syarat iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. Syarat yang kedua adalah wanita tersebut tidak berada di dalam iddah jika telah diceraikan. (Rujuk Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 1/150-151)

Namun begitu para ulama’ berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama’ dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama’ dari kalangan mazhab Syafi’i , Maliki, Al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500).

Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Rujuk Al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj Al-Tullab, 6/35)

Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam.

Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya. Ini adalah pandangan jumhur para ulama’. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 8/334 ; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104)

Kesimpulannya, kami cenderung mengatakan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama’ perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.

Semoga Allah memberikan kefahaman agama kepada kita semua. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media