Hukum Telan Sisa Makanan Di Celahan Gigi Ketika Solat


SOALAN:
Adakah membatalkan solat kita apabila kita menelan sisa makanan yang terdapat pada celah gigi ketika solat?

JAWAPAN:
Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan merupakan rukun yang penting selepas mengucap dua kalimah shahadah. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar R.A:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
“Islam didirikan di atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” [Riwayat Muslim (16)]

Perkara Membatalkan Solat

Solat tertegak berasaskan kepada rukun, syarat serta perkara yang membatalkan solat. Hal ini telah ditetapkan syara’. Di antara perkara yang dilarang serta membatalkan solat adalah makan atau minum ketika mengerjakan solat.

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Makan dan minum merupakan perkara yang ditegah di dalam solat. Oleh itu, sekiranya seseorang makan dengan sengaja ketika sedang sembahyang, maka batallah solatnya sama ada banyak atau sedikit. Dan sekiranya dia makan dalam kuantiti yang sedikit kerana terlupa atau jahil, maka tidak batal solatnya. Dan sekiranya dalam kuantiti yang banyak maka batal solatnya.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/230)

Selain itu, di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan makan dan minum adalah perkara yang bertentangan dengan tingkah laku dan peraturan solat. Oleh itu, sekiranya seseorang itu sengaja melakukannya ketika solat maka batal solatnya walaupun hanya kadar yang sedikit.

Adapun sekiranya tidak sengaja, maka batal solatnya sekiranya kadar yang banyak mengikut anggapan umum. Para Fuqaha’ berpendapat kadar banyak yang dimaksudkan adalah apabila keseluruhan yang ditelan dengan kadar sebesar kacang kuda. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/169)

Imam Nawawi di dalam kitabnya menyatakan: “Pandangan ashab al-Syafi’e menyatakan apabila makan dan minum ketika melakukan solat dengan sengaja, maka batal solatnya sama ada sikit atau banyak.” (Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/89)

Makanan di celahan gigi

Berkenaan dengan makanan yang lekat di celahan gigi, Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya: “Dan sekiranya makanan yang terlekat di celahan gigi kemudian ditelan makanan tersebut dengan sengaja atau sesuatu yang turun daripada kepala kemudian ditelannya secara sengaja maka batal solatnya tanpa ada khilaf fuqaha’. Selain itu, sekiranya menelan sesuatu yang sukar dihalang seperti bercampurnya air liur dengan makanan, tanpa sengaja atau menelan kahak yang sukar untuk menghalangnya, maka tidak membatalkan solatnya.” (Lihat: al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 4/90)

Dalam hal ini, Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan sekiranya di antara celahan gigi terdapat sisa makanan yang kadarnya tidak sebesar kacang kuda, dan menelannya tanpa disengajakan maka tidak membatalkan solatnya. Dan sekiranya sebaliknya maka batal solatnya. Begitu juga tidak membatalkan solatnya sekiranya menelan air liur yang banyak. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/230)

Cara mengeluarkan makanan dari nulut ketika solat

Dalam hal ini, dibenarkan untuk membuangnya ketika sembahyang dengan meludah atau membuang sisa makanan itu pada pakaian, tisu atau selendang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ‏"‏‏.‏ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ‏"‏ أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا
Bahawasanya Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan kiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) disebelah kirinya atau di bawah kakinya.” Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda: “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini.” [Riwayat al-Bukhari (405)

Berkenaan hal meludah atau membuang air liur ketika solat di dalam masjid dan di luar masjid, Imam Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: “Bahawa meludah di bawah tapak kaki dan di sebelah kiri ketika solat hanyalah bagi mereka yang mendirikan solat di luar masjid (di tanah lapang). Bagi yang mendirikan solat di masjid, maka hendaklah menggunakan cara menyapu di baju seperti mana yang dianjurkan oleh Baginda SAW.” (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 5/39)

Imam Badruddin al-A’ini menyatakan di dalam syarahnya: “Larangan untuk meludah di dalam masjid adalah untuk memuliakannya daripada perkara yang kotor dan juga memuliakan arah kiblat. Selain itu, sebaiknya meludah di sebelah kiri dan jangan meludah di hadapan sesuatu benda yang mulia.” (Lihat: U’mdah al-Qari, 4/149)

Kesimpulannya

Berbalik kepada persoalan di atas dan keterangan dalil yang diberikan dapat disimpulkan, sekiranya tertelan sisa makanan yang sedikit tanpa disengajakan maka tidak membatalkan solatnya.

Begitu juga, sekiranya sisa makanan bercampur dengan air liur serta susah untuk membezakannya dan tertelan dengan tidak sengaja disebab kesukaran menghalangnya, maka tidak membatalkan solat.

Namun sekiranya tertelan sisa makanan dengan kuantiti yang banyak mengikut anggapan umum, sama ada dengan sengaja atau tidak maka batal solatnya.

Selain itu, cara untuk mengeluarkan sisa makanan ketika melakukan solat adalah seperti berikut:

  • Apabila melakukan solat di dalam masjid maka tidak boleh meludah di atas lantai masjid. Akan tetapi dengan meludahnya ke atas baju yang dipakai atau menyapunya pada tisu dan kain.
  • Sekiranya melakukan solat selain daripada masjid seperti di rumah, maka dibolehkan untuk meludah ke lantai sebelah kiri atau di bawah kakinya seperti yang diberitahu Baginda SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media