Pelajar tahfiz yang berusia 7 tahun meninggal dunia akibat dipukul pelajar lain kerana cemburu mangsa lebih mesra dan manja dengan guru dan warden.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa, Mohammad Amin, yang merupakan pelajar paling muda di pusat tahfiz tidak berdaftar di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu agak manja dengan pentadbir dan warden (suami isteri) di pusat tahfiz itu menyebabkan timbulnya rasa cemburu di kalangan pelajar lain.
"Timbul rasa cemburu di kalangan pelajar lain yang menyebabkan berlakunya pergaduhan sebelum mereka memukul mangsa," katanya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 1 tengah hari dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden di bilik asrama.
Pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa kesan lebam di badan mangsa akibat dipukul. Selain itu, terdapat kesan trauma di bahagian dada dan abdomen mangsa, oleh impak dengan permukaan atau objek yang tumpul dan keras.
Tiga pelajar pusat tahfiz itu yang berusia 13 tahun itu termasuk abang tiri mangsa direman sehingga 14 November untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, warden pusat tahfiz berkenaan, Siti Noor Asilah Samsuri berkata, mangsa memang rapat dengan dia dan suami sejak mula mendaftar ke pusat itu dan beranggapan mungkin mangsa kurang kasih sayang sebelum ini.
Namun dia tidak menyangka sifat mesra dan manja mangsa itu menimbulkan rasa cemburu pelajar lain.
Difahamkan, mangsa dihantar ke pusat tahfiz itu oleh keluarganya atas alasan mahu mangsa mendalami ilmu agama. Mangsa sebelum ini bersekolah di SK Charuk Puting, Temerloh sebelum berhenti kerana prestasi akademiknya kurang memuaskan.
Sumber: Harian Metro
Sumber : thereporter.my