Dia bukan calon pemain import baharu Terengganu FC - Nafuzi Zain


Kuala Terengganu : TERENGGANU FC (TFC) enggan menunggu terlalu lama untuk mengikat pemain import baharu dalam misi memantapkan lagi pasukan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain menyatakan dua pemain import baharu TFC yang bakal beraksi di posisi penyerang dan pertahanan akan tiba pada awal Disember ini bagi memulakan latihan pramusim bersama pasukan pada 5 Disember depan.

"Kita sudah tandatangan kontrak pemain sayap dari Singapura, Faris Ramli baru-baru ini bagi mengisi kuota Asean dan akan disusulin dua pemain import baharu sebelum bermulanya latihan pramusim.

"Faris mungkin akan tiba lewat sedikit kerana perlu mewakili negaranya dalam Sukan SEA di Filipina, jadi kita beri cuti beberapa hari untuk pemain itu mengembalikan semula kecergasan sebelum mengharungi Liga M yang panjang," ujarnya.

Ketika ditanya status pemain import baharu, Nafuzi bagaimanapun tidak mahu mendedahkan identiti pemain terbabit terlebih dahulu sambil menafikan khabar angin salah seorang daripadanya ialah pemain pertahanan kebangsaan Guinea, Fode Kuffour Camara seperti yang tular dalam laman sosial.



Mengenai pemain tempatan, beliau berkata, sebahagian besar pemain terdiri daripada pemain muda yang juga anak negeri daripada pasukan TFC lll dan TFC IV.

"Kita menguji beberapa pemain muda ketika bertanding di kejohanan Piala Sheikh Kamal di Bangladesh dan mereka mempamerkan persembahan cemerlang sehingga pasukan muncul juara.

"Saya yakin dengan kemampuan mereka, namun dalam masa sama pemain yang dipilih perlu lebih banyak belajar terutama dengan pemain import dan pemain berpengalaman selain disiplin mereka perlu tinggi," ujar Nafuzi.

Selain Faris, sebelum ini TFC sudah mengekalkan kapten, Lee Tuck dari England dan Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan. - Harian Metro