Bunuh adik kandung sendiri kerana cemburu isterinya rapat dengan mangsa


Cemburu isteri rapat dengan adik kandung, seorang lelaki tergamak menetak mangsa sehingga mati dalam kejadian di Minahasa Tenggara, Sulawesi Utara, Indonesia. 

Suspek yang dikenali sebagai JT, bertindak menetak adiknya, Maxi Tumundo di bahagian kepala dan tangan dalam kejadian yang berlaku pada waktu Subuh Rabu 13 November 2019. 

Jurucakap polis, Iptu Martodewata dari Balai Polis Belang berkata, suspek cemburu kerana mangsa mempunyai hubungan yang rapat dengan isterinya dan ketiga-tiga mereka tinggal di rumah yang sama. 

"Memang motif sebenar belum diketahui tetapi berdasarkan maklumat awal, kes berpunca dari sifat cemburu suspek terhadap mangsa yang rapat dengan isteri suspek. Tambahan, mereka bertiga tinggal serumah," katanya. 

Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan luka di kepala dan tangan mangsa akibat ditetak suspek.

"Pemeriksaan mendapati, kepala mangsa mengalami luka akibat dihentam dengan batu. Tangan mangsa luka akibat dilibas dengan senjata tajam," katanya. 

Sementara itu, isteri supek, Nirma Abas, 36, berkata, tiada sebarang pertikaian yang berlaku sebelum suaminya keluar manakala mangsa tidur di bilik belakang. 

Namun menjelang waktu subuh, dia ada terdengar percakapan suaminya yang sukar dipastikan isi percakapannya di depan rumah. 

"Suami saya mabuk kerana pengaruh alkohol. Ketika saya keluar untuk melihat, tiba-tiba parang sudah dilibas kepada mangsa. 

"Saya menjerit melihat mangsa jatuh berlumuran darah," katanya. 

Suspek kemudian menyerah diri kepada polis dengan menahan sebuah kenderaan polis dan mengaku membunuh mangsa. 

Sumber: Tribun


Sumber : thereporter.my