Bawa Bukti Apabila Menuduh Seseorang


Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لو يُعْطَى الناسُ بدعواهُم لادّعَى قومٌ دماءَ قومٍ وأموالهُم ، ولكنّ البيّنَة على المُدّعِي ، واليمينُ على من أنكرَ حديث حسن رواه البيهقي وغيره هكذا وبعضه في الصحيحين
“Jika semua orang diberi hak (hanya) dengan dakwaan mereka (semata-mata), nescaya (akan) banyak orang yang mendakwa harta orang lain dan darah-darah mereka. Namun, bukti wajib didatangkan oleh pendakwa, dan sumpah harus diucapkan oleh orang yang mengingkari (tidak mengaku).” [Riwayat Al-Baihaqi, hasan]

Penjelasan hadis

1. Hadis ini dimuatkan Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Arba’in An-Nawawiyah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dan yang lainnya. Makna hadis ini juga dimuat di kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

2. Ibnu Daqiq Al-‘Id, dalam Syarah Al-Arba’in, berkata: “Hadis ini merupakan salah satu pokok dasar hukum-hukum Islam, dan rujukan utama dalam masalah perselisihan dan permusuhan. Hadis ini mengajarkan bahawa seseorang tidak boleh dihukum hanya dengan membenarkan tuduhannya saja.”

3. Para ulama’ pakar kaedah fiqh menjadikan hadis ini sebagai landasan kaedah yang berbunyi:

البينة على المدعي واليمين على من أنكر ( أو عل المدعى عليه)
“Bagi yang menuduh (pendakwa) wajib membawa bukti, sedangkan yang mengingkari (didakwa) cukup bersumpah.”

Makna Kaedah:
Al-bayyinah/bukti adalah sesuatu yang dapat membuktikan sebuah hak atau dakwaan, dan hal ini untuk menetapkan kebenaran atas dakwaan seseorang. Pada asasnya, yang dimaksud dengan al-bayyinah adalah saksi dalam semua perkara hukum, baik yang berhubungan dengan darah, harta, tindakan jenayah atau lainnya. Ketentuan saksi terdiri dari beberapa jenis. Di antara ketentuan saksi adalah:

  • Harus empat orang laki-laki. Dan ini berlaku pada persaksian dalam kes penzinaan.
  • Harus dua orang laki-laki. Dan ini berlaku pada semua kes jenayah kecuali zina, juga pada pernikahan, perceraian, dan lainnya.
  • Persaksian boleh dilakukan oleh dua orang lelaki atau seorang lelaki; dan dua wanita atau seorang lelaki; dan sumpah pada masalah yang berhubungan dengan harta seperti jual beli, sewa menyewa, dan lainnya.
  • Persaksian boleh dilakukan oleh wanita saja berlaku pada masalah yang tidak dapat dilihat oleh kaum lelaki, seperti masalah persusuan, haid, nifas, dan lainnya.

Namun tidak semua bukti itu berupa saksi, boleh jadi bukti itu berupa keadaan yang sangat kuat yang menyokong salah satu dari yang menuntut atau dituntut. Sebagaimana yang Allah Taala kisahkan di dalam Al-Quran tentang Nabi Yusuf ‘alaihisalam yang ertinya:

“Jika baju gamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf termasuk orang-orang yang jujur. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak dibelakang, berkatalah dia: ‘Sesungguhnya kejadian ini adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu sangat besar’.” (Yusuf: 26-28)

Di ayat ini tidak ada saksi yang dapat dijadikan rujukan, namun qorinah (indikasi) yang sangat jelas menjadi bukti atas suatu tuduhan, iaitu terkoyaknya baju Nabi Yusuf ‘alaihissalam. Jadi, dapat disimpulkan bahawa yang dimaksudkan bukti di sini adalah segala sesuatu yang dapat menjelaskan dan menunjukkan kebenaran tuduhannya tersebut, baik berupa saksi-saksi, bukti-bukti penguat atau pun yang lainnya.

4. Imam An-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan tentang makna hadis di atas: “Seandainya setiap pendakwa langsung diputuskan benar hanya dengan dakwaan atau tuduhannya saja kepada orang lain, nescaya hal ini akan menimbulkan banyak orang yang menuduh dan mengaku/mendakwa harta dan darah orang lain. Akan tetapi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan sesuatu yang dapat menyelesaikan permasalahan antara sesama manusia, iaitu dengan diminta (al-bayyinah) bukti dari si pendakwa.

5. Jika pendakwa telah membawa bukti-bukti tersebut, maka baru dapat diadili dan menang mendakwa. Namun jika bukti-bukti tidak dimiliki pendakwa, maka yang didakwa diminta untuk bersumpah. Jika dia berkenan untuk bersumpah, maka dia terbebas dari tuduhan (si pendakwa). Dan jika dia tidak mahu bersumpah, maka dia dihukum menolak sumpah, dengan demikian dakwaan dan tuduhan si pendakwa harus dibenarkan.

6. Berhati-hati dari mendakwa atau menuntut harta orang lain. Boleh jadi kerana orang yang menuntut memiliki kekuasaan atau wang, maka dia dengan mudah boleh membuat bukti-bukti palsu atau dengan mendatangkan persaksian palsu, seperti yang sering terjadi pada zaman sekarang di dalam masyarakat Islam. Cuba kita renungkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“إِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ وَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ فَأَقْضِيَ لَهُ عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ مِنْهُ فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ فَلَا يَأْخُذْهُ
“Sesungguhnya kalian mengadukan permasalahan/perseteruan kalian kepadaku, dan sesungguhnya aku hanyalah manuasia biasa. Dan boleh jadi salah seorang dari kalian pandai berkata-kata (debat) dan menjadikan aku memenangkannya dalam perkaranya disebabkan apa yang aku dengar darinya. (Namun ingatlah) barangsiapa yang aku menangkan perkaranya padahal itu merupakan hak saudarnya, maka pada hakikatnya aku sedang memutuskan untuknya bahagian dari neraka, maka janganlah sekali-kali dia mengambilnya.” (HR. Bukhari)

Contoh dari penerapan hadis

Kaedah ini digunakan hampir dalam semua permasalahan hukum untuk menetapkan siapa yang berhak dan siapa yang tidak. Di sini akan disebutkan beberapa contoh yang dapat dikiaskan/dianalogikan pada kes-kes yang lain.

1. Jika ada orang yang mengaku bahawa barang yang dipegang oleh seseorang itu adalah miliknya maka dia harus mendatangkan bukti atau saksi. Jika dia tidak dapat mendatangkan saksi maka cukup bagi yang dituntut untuk bersumpah atas nama Allah Taala bahawa barang itu adalah miliknya.

2. Jika ada seseorang yang menuduh seseorang berbuat zina, maka dia harus mendatangkan bukti berupa empat laki-laki yang menjadi saksi. Jika tidak, maka tidak sah tuduhannya dan dia berhak mendapat hukuman lapan puluh sebatan kerana menuduh orang lain berbuat zina tanpa bukti.

3. Jika ada seseorang yang berhutang pada orang lain, lalu dia mengaku sudah membayarnya tapi diingkari oleh penghutang, maka yang berhutang harus mendatangkan bukti. Jika tidak, maka cukup bagi penghutang untuk bersumpah menepis dakwaan terhadapnya.

Ringkasan dari penjelasan hadis

Sempurnanya syariat dalam menjaga hak-hak berupa harta dan darah manusia. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diberikan mukjizat oleh Allah Taala berupa Jawami’ul Kalim iaitu dengan sabda beliau yang ringkas namun memiliki makna dan penjelasan yang mencakup banyak aspek.

2. Penjelasan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang cara-cara yang dapat menyelesaikan perkara antara orang-orang yang berselisih. Jika yang didakwa tidak mengaku, maka pendakwa harus mendatangkan bukti atas dakwaan dan tuduhannya.

3. Jika tidak memiliki bukti, maka yang didakwa diminta untuk bersumpah. Jika dia bersumpah, maka dia terbebas dari tuduhan dan dakwaan tersebut. Dan jika tidak mahu bersumpah, dia dihukum telah menolak sumpah (dan dakwaan si pendakwa dibenarkan).

Oleh: Taufiq Hidayah
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media