Tugas sulung Nafuzi Zain di Bangladesh


Kurang seminggu dilantik sebagai ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, diberi tugas sulung untuk membawa cabaran Terengganu FC (TFC) dalam satu kejohanan jemputan di Bangladesh.

Finalis Piala Malaysia musim lalu itu sudah berada di bandar Chittagong sejak kelmarin untuk menyertai Piala Sheikh Kamal yang bermula esok sehingga 30 Oktober ini.

TFC akan memulakan aksi bertemu wakil India, Chennai City, disusuli Dhaka Abahani serta juara Liga Bangladesh, Bashundhara King's.

Antara pemain yang dibawa Nafuzi termasuk tonggak tengah, Lee Tuck, Marcel N'Guessan, Bruno Suzuki, Serhii Andrieiev serta pemain-pemain tempatan yang disambung kontrak.

Sementara itu, TFC tetap akan menggunakan khidmat lima pemain import bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, berkata kelibat pemain untuk tiga kekosongan import juga sudah dikenal pasti.

Walaupun mahu melakukan penjimatan seperti diumumkan Kongres PBSNT, Hishamuddin menyifatkan kuota pemain import penting dalam mengekalkan daya saing pasukan.

TFC sebelum ini hanya mengekalkan khidmat Tuck dan Sanjar Shaakhmedov yang masih berbaki kontrak setahun manakala Thierry Chantha Bin hampir pasti dilepaskan.

Sementara itu, nasib penyerang, Kipre Tchetche, pula masih 50-50 selain pemain kontroversi, Luis Gustavo Camillo, yang tidak sempat menyarung jersi hitam putih TFC musim ini.

"Calon sudah ada, cuma belum tandatangan secara rasmi kerana masih dalam proses perbincangan, termasuk pasukan TFC II.

"Kami juga cuba mencari pemain yang lebih baik daripada Camillo dan sudah pasti TFC tetap akan bermain dengan lima pemain import," jelasnya. - Astro Arena