KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain akur terhadap keputusan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sama ada masih berminat menggunakan khidmatnya musim depan ataupun sebaliknya.
Nafuzi yang mengambil alih tugas sebagai pemangku ketua jurulatih pada 15 Mei lalu selepas peletakan jawatan secara mengejut pengendali sebelum itu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui masih berminat untuk membimbing skuad Penyu.
Bagaimanapun dia mengakui setakat ini tiada perbincangan secara rasmi mengenai jawatan itu selepas gagal membantu skuadnya mengulangi kejayaan mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini selepas terkandas di suku akhir.
"Masa depan bersama TFC saya serahkan sepenuhnya kepada PBSNT dan terbuka untuk terima apa saja keputusan yang baik untuk semua pihak.
"Setakat ini tidak ada apa-apa perkembangan lagi berhubung perkara itu kerana kami baru sahaja selesai perlawanan suku akhir kedua dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu lalu.
"Lagipun saya sedang melakukan persiapan untuk mengikuti kursus kejurulatihan lesen Profesional A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Jepun selama dua minggu.
"Tapi jika diberi peluang membimbing TFC musim depan sudah tentu saya mahu terus berada di sini (Terengganu) kerana ia bagaikan rumah kedua saya.
"Malah pemain-pemain serta pihak pengurusan TFC juga saya anggap seperti keluarga dan mereka adalah sebahagian daripada jiwa saya," kata Nafuzi yang pernah membantu skuad Penyu menjulang Piala Malaysia pada 2001.
Berdasarkan rekod, Nafuzi memulakan kariernya sebagai jurulatih Piala Presiden Terengganu pada 2016 sebelum dilantik menjadi penolong jurulatih Irfan Bakti pada 2017 bersama Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar. - Berita Harian