Perkara Sunat Dilakukan Selepas Tanam Jenazah


SOALAN:
Apakah perkara yang disunatkan kita lakukan selepas menanam mayat di kuburan kerana ada sesetengah orang yang berdoa sahaja manakala sesetengah yang lain berzikir dahulu sebelum berdoa? Adakah boleh memberikan tazkirah kepada para hadirin selepas tanam? Bagaimana cara yang betul berdoa kepada mayat selepas tanam kerana ada berbagai cara yang dilakukan oleh masyarakat kita?

JAWAPAN:
Sesetengah dari perkara yang sunat dilakukan selepas selesai menanam mayat di kubur ialah berhenti orang yang menghantar jenazah itu di sisi kubur sekejap kerana mendoakannya dan memohon keampunan baginya.

Telah diriwayatkan dari Sayyidina Uthman r.a kata beliau: “Adalah Nabi saw apabila selesai menanam mayat ia berdiri dekat kubur dan berkata:

استَغفِرُوا لأَخِيكم وسَلُوا له التَّثبِيتَ
“Mohonlah keampunan bagi saudara kamu ini dan mintalah ketetapan baginya maka sesungguhnya dia sekarang sedang diuji.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Dan diriwayatkan daripada ‘Amr bin Al-‘Ash r.a pesan beliau:

إذا دَفَنتُمُونِي فَشُنُّوا عليَّ التُّرَابَ شَنًّا، ثُم أَقِيمُوا حَولَ قَبرِي قَدرَ ما تُنحَرُ جَزُورٌ ويُقسَمُ لَحمُها حتى أَستَأنِسَ بكم وأَنظُرَ ماذا أُراجِعُ به رُسُلَ رَبِّي
“Apabila nanti kamu selesai menanam aku dan meratakan tanah atas kubur hendaklah kamu berdiri dekat kuburku sekadar masa disembelih dan dilapah dan dibahagikan daging kambing sehingga jadi jinak hatiku dengan kamu dan sehingga aku ingat apa yang akan aku katakan kepada Malaikat Allah.” (Riwayat Muslim)

Berkata Imam Nawawi:

ويستحب أن يقعد عنده بعد الفراغ ساعة قدر ما يُنحَر جَزُورٌ ويُقَسَّم لحمُها. ويشتغل القاعدون بتلاوة القرآن، والدعاء للميت، والوعظ، وحكايات أهل الخير، وأحوال الصالحين... قال الشافعي والأصحاب: يُستَحَبُّ أن يقرؤوا عنده شيئًا مِن القرآن، قالوا: فإن ختموا القرآنَ كلَّه كان حسنًا
“Dan disunatkan bahawa duduk di sisi kubur selepas tanam kadar masa sembelih dan dilapah akan kambing dan dibahagikan dagingnya iaitu orang-orang yang hadir itu membaca ayat al-Quran dan berdoa bagi mayat dan memberikan pengajaran dan menyebut kisah orang soleh.

Berkata Imam Syafie dan ashab: “Disunatkan bahawa membaca akan suatu dari al-Quran dan jika membaca sampai khatam adalah elok.” (Kitab Al-Azkar)

Berkenaan cara yang lebih baik membaca doa atau berzikir maka terpulang kepada para hadirin. Jika dia mahu berdoa sahaja maka hukumnya adalah harus atau pun dia mahu berzikir dan membaca al-Quran kemudian berdoa maka hukumnya juga adalah harus dan begitu juga jika memberikan nasihat tentang kematian pada yang hadir.

Perintah dalam hadith di atas tidak mengkhususkan lafaz-lafaz yang tertentu. Oleh itu perintah yang umum dan luas ini memberi kemudahan dan kelonggaran bagi kita dalam beramal. Bacalah apa sahaja doa dan zikir yang kita kehendaki semuanya adalah elok belaka.

Orang yang menetapkan bacaan dan doa tertentu sahaja boleh dibaca selepas menanam mayat tidak boleh dengan doa dan bacaan yang selainnya adalah menyempitkan apa yang diluaskan oleh syariat. Ini adalah perbuatan ahli bida'ah.

Berkata Mufti Mesir dalam himpunan fatwa negeri Mesir:

أما عن كيفية الدعاء للميت وهل يكون سرًّا أو جهرًا: فالأمر في ذلك واسع، والتنازع من أجل ذلك لا يرضاه الله ولا رسوله صلى الله عليه وآله وسلم، بل هو من البدع المذمومة؛ إذ من البدعة تضييق ما وسَّع الله ورسوله صلى الله عليه وآله وسلم، فإذا شَرَع اللهُ سبحانه وتعالى أمرًا على جهة الإطلاق وكان يحتمل في فعله وكيفية إيقاعه أكثرَ مِن وجه؛ فإنه يؤخذ على إطلاقه وسعته، ولا يصح تقييده بوجه دون وجه إلا بدليل
“Adapun cara berdoa bagi mayat adakah perlahan atau kuat maka perintah pada perkara ini adalah luas dan bertengkar pada masalah ini tidak disukai oleh Allah dan Rasul-Nya saw. Bahkan ia adalah perbuatan bida'ah yang dikeji dari kerana sesetengah dari bida'ah ialah menyempitkan apa yang diluaskan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Maka apabila Allah membenarkan suatu amalan atas jalan mutlak nescaya jadilah cara mengamalkannya berbagai-bagai kerana tidak ada disempitkan dan dikhususkan cara amalnya. Dan tidak sah dikaitkan perkara yang luas itu dengan cara tertentu tanpa sebarang dalil.” (دار الإفتاء المصرية 2651 الرقم المسلسل)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media