Malam Maulid Serumpun Kasih Bawa Mesej


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 14 Oktober - Malam Maulid Serumpun Kasih yang dianjurkan oleh Pusat Rawatan Terapi Traditional (PNA) Kemaman dan Ahbabul Musthofa Terengganu berjaya membawa mesej tersendiri apabila ianya berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan bermakna dengan kehadiran melebihi 1,000 orang di Padang Astaka Kemaman, kelmarin.

Antara persembahan yang diadakan ialah dendang anak, qasidah dan selawat, tarian cinta ar-rumi, pentomen sakaratul maut, dana kemanusiaan harum dan doa munajat. Rata-rata pengunjung yang datang teruja dan terpukau dengan persembahan tersebut.

Pengarah program, Haji Azmi Osman ketika ditemui selepas selesai majlis mengucapkan terima kasih kepada seluruh Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakannya.


"Program ini diadakan bagi menaikkan kembali jati diri melayu di Malaysia yang kita cintai ini kerana melayu mempunyai identitinya yang tersendiri. Sebagai contoh sebentar tadi kita telah gabungkan kasih sayang di antara ahli-ahli dan masyarakat supaya terus berselawat kerana ia dapat menyatukan masyarakat kerana dakwah selawatlah Islam berkembang di nusantara ini dengan jayanya," Ujarnya.

"Jadi tanamkan semangat  selawat itu kerana ia adalah hubungan antara kita dengan Rasullullah S.A.W. Selawat itu adalah kasih sayang antara umat Islam di seluruh  dunia. Semoga dengan program pada malam ini kita harapkan akan terus dipandang tinggi oleh pemimpin, ketua-ketua kerajaan dan masyarakat," tambahnya lagi.


Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat.

Sumber: teganukita.net