KUALA TERENGGANU: "Jika ada rezeki, adalah tu," . Itu jawapan ringkas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berhubung status terkini penyerang import sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche.
Hal ini membayangkan kedudukan penyerang kelahiran Ivory Coast itu masih samar sama ada akan terus kekal bersama skuad Penyu musim depan atau sebaliknya.
Sebelum ini, PBSNT yang berminat dengan penyerang PKNS FC, Kpah Sherman hanya mengekalkan dua daripada empat pemain import iaitu Sanjar Shaakhmedov dan kapten pasukan, Lee Tuck bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Selain Tchetche, seorang lagi pemain import iaitu Thierry Chantha Bin dari Kemboja juga masih belum diketahui nasibnya sama ada akan terus menyarung skuad itu atau terpaksa mencari pasukan lain.
Dalam kunjungan skuad TFC ke Bangladesh semalam bagi menyertai kejohanan jemputan di negara itu, Tchetche dan Chantha Bin tidak berada dalam senarai pasukan itu sebaliknya hanya Sanjar dan Tuck dibawa bersama. Pertandingan itu dijadual bermula hari ini sehingga 30 Oktober.
Mengenai kemungkinan TFC mengikat pemain pertahanan kelahiran Brazil, Luis Gustavo Camilo, yang sebelum ini gagal mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) kerana terlewat 30 saat memenuhi dokumen penting bagi menggantikan Igor Zonjic, Hishamuddin enggan mengulas banyak.
"Kita cuba cari mana yang lebih baik, mungkin pemain itu (Camilo) ada dalam radar pasukan TFC atau mungkin ada pemain yang lebih baik daripada pemain itu," katanya.
Sementara itu, Tchetche enggan mengulas lebih lanjut ketika diajukan persoalan berhubung kedudukannya bersama skuad TFC atau bakal 'angkat kaki' menyarung jersi pasukan lain musim depan.
"Setakat ini belum lagi ada sebarang keputusan sama ada saya kekal atau sebaliknya. Tetapi jika mereka (PBSNT) tawarkan kontrak, saya setuju," kata Tchetche yang menyertai TFC sejak pertengahan 2017. - Berita Harian