Dua pemain import TFC kekal, bayangan pemain import ASEAN dari Vietnam?


Kuala Terengganu: Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), dua pemain import iaitu Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov akan kekal menyarung jersi skuad Hitam Putih memandangkan mereka masih mempunyai kontrak sehingga penghujung tahun 2020.

Namun, untuk khidmat dua lagi pemain iaitu penyerang, Tchetche Kipre dan pemain tengah, Thierry Chantha Bin nasib mereka akan terletak di tangan pengendali Terengganu FC yang akan dilantik pada selasa ini.

“Bagi urusan pemilihan pemain, pihak pengurusan PBSNT akan serahkan sepenuhnya mandat kepada ketua jurulatih kerana beliau lebih mengetahui kualiti atau ciri yang diinginkan.

“Namun kita ada juga ‘mengintai’ pemain-pemain import lain seperti penyerang sensasi PKNS FC, Kpah Sherman yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super musim ini tetapi khabarnya sudah dirisik pasukan lain,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Sebelum ini beliau ada berkongsi luahan tentang penamatan prestasi Terengganu FC musim ini yang agak mendukacitakan dan turut memuat naik gambar dengan kenyataan "Gambar ketika kami berada di Ho Chi Minh City ketika tempoh rehat tempohari. Tentunya agenda scouting dilaksanakan Nafuzi Zain. Kini beliau berada di Jepun untuk kursus lanjutan."



Kemungkinan Nafuzi Zain sendiri sudah mempunyai nama-nama yang akan diketengahkan untuk mengisi slot pemain import dari ASEAN, sama-sama nantikan siapakah pemain yang dimaksudkan sama ada dari Vietnam atau calon dari negara ASEAN lain.