SOALAN:
Kita pernah dikejutkan dengan klip video yang menunjukkan sebuah papan tanda di sebuah sekolah yang berayun dengan sendiri. Persoalannya benarkah hal ini terjadi hasil daripada perbuatan jin? Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Sebelum menjawab persoalan di atas, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh setiap orang adalah mengesahkan kesahihan sesuatu berita atau laporan yang diterima. Ini kerana, tidak dinafikan wujud segelintir pihak yang gemar mensensasikan cerita-cerita yang luar biasa, namun apabila disemak ia adalah cerita palsu yang ditokok tambah.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, terdapat nas-nas al-Quran dan hadis yang menjelaskan hubungan jin dan syaitan terhadap perkara yang bersifat fizikal. Antaranya ayat yang menerangkan bagaimana sebahagian jin mempunyai kepakaran dalam membina bangunan dan perkara-perkara lain. Firman Allah SWT:
وَالشَّيَاطِينَ كُلَّ بَنَّاءٍ وَغَوَّاصٍ ﴿٣٧﴾
“Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) jin syaitan; (dia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing).” [Surah Sad: 37]
Ia dinyatakan dengan lebih terperinci dalam firman-Nya yang lain:
يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِن مَّحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَّاسِيَاتٍ ۚ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ ﴿١٣﴾
“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” [Surah Saba’: 13]
Menurut Ibn Kathir, kedua-dua ayat di atas menunjukkan sebahagian daripada syaitan dipergunakan untuk membina binaan-binaan yang hebat seperti bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya dan lain-lain pekerjaan yang sukar yang tidak mampu dilakukan oleh manusia. Sekumpulan mereka pula menyelam ke dasar lautan, mengeluarkan darinya segala mutiara dan permata tidak mungkin ditemui kecuali di dalamnya. [Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/73]
Di ayat yang lain pula, Allah SWT merakamkan terdapat jin yang mampu memindahkan sesuatu daripada satu tempat ke tempat yang lain. Firman-Nya:
قَالَ عِفْرِيتٌ مِّنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن تَقُومَ مِن مَّقَامِكَ ۖ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ ﴿٣٩﴾
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.” [Surah al-Naml: 39]
Menurut al-Sabuni, ayat ini menerangkan bagaimana Ifrit iaitu jin yang besar (maradah al-jin) berkemampuan mengangkat singgahsana Balqis dan membawakannya kepada Nabi Sulaiman dalam masa kurang setengah hari. [Lihat Safwah al-Tafasir, 2/375]
Menerusi hadis, terdapat nas yang mengisyaratkan bahawa jin boleh memberi kesan kepada perkara fizikal. Antaranya hadis Abu Hurairah berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ كَانَ عَلَى تَمْرِ الصَّدَقَةِ فَوَجَدَ أَثَرَ كَفٍّ كَأَنَّهُ قَدْ أَخَذَ مِنْهُ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «تُرِيدُ أَنْ تَأْخُذَهُ؟» قُلْ: سُبْحَانَ مَنْ سَخَّرَكَ لِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ...
Daripada Abu Hurairah R.Anhu, bahawa beliau (diamanahkan menyimpan) tamar daripada zakat. Lalu beliau mendapati sebahagian tamar telah dicuri sebesar tapak tangan. Beliau memaklumkannya kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda: “Adakah kamu mahu menangkapnya? Katakan: Maha suci Allah yang menundukkan kamu untuk Muhammad SAW…” [Riwayat al-Nasa’i (7963)]
Hadis lain pula meriwayatkan:
عَنْ جَابِرٍ، عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: «غَطُّوا الْإِنَاءَ، وَأَوْكُوا السِّقَاءَ، وَأَغْلِقُوا الْبَابَ، وَأَطْفِئُوا السِّرَاجَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَحُلُّ سِقَاءً، وَلَا يَفْتَحُ بَابًا، وَلَا يَكْشِفُ إِنَاءً، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا أَنْ يَعْرُضَ عَلَى إِنَائِهِ عُودًا، وَيَذْكُرَ اسْمَ اللهِ، فَلْيَفْعَلْ، فَإِنَّ الْفُوَيْسِقَةَ تُضْرِمُ عَلَى أَهْلِ الْبَيْتِ بَيْتَهُمْ»
“Daripada Jabir daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: Tutuplah bekas-bekas makanan kamu, rapatkanlah bekas-bekas minuman, tutuplah pintu-pintu, padamkanlah lampu-lampu, kerana syaitan tidak dapat membuka ikatan bekas minuman, membuka pintu dan membuka bekas makanan. Jika kalian tidak mempunyai penutupnya kecuali dengan meletakkan di atas bekas itu sebatang kayu dan menyebut nama Allah, maka lakukanlah! Sesungguhnya tikus boleh merosakkan pemilik rumah dengan membakar rumah mereka.” [Riwayat Muslim (2012)]
Daripada hadis-hadis ini, Ibn al-‘Arabi berpendapat hanya orang Mukmin yang mempercayai jin mampu melakukan perkara-perkara pelik dan luar biasa seperti menembusi celah-celah yang sempit. Walau bagaimanapun, ia tidak mampu dilakukan oleh jin jika perbuatan menutup pintu, bekas makanan dan lain-lain disertai dengan zikir (bacaan basmalah). [Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 7/435]
Kesimpulannya, berdasarkan nas-nas syarak yang dinyatakan, tidak dinafikan jin dan syaitan mampu untuk memberi kesan terhadap perkara-perkara fizikal jika diizinkan Allah SWT. Ini kerana, jin dan syaitan merupakan makhluk Allah SWT yang diberikan kemampuan dan upaya tertentu. Sebagai seorang Mukmin, kita disuruh beriman dengan kewujudan mereka tanpa menokok-tambah sehingga menimbulkan kepercayaan khurafat dan tahyul. Akhirnya, kami mengesyorkan agar kita sentiasa mengamalkan doa-doa dan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW bagi menghindarkan diri daripada sebarang gangguan makhluk berkenaan.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media