Ysuku diubah suai tanpa kebenaran boleh disita - Bukit Aman


Polis memberi amaran kepada penunggang motosikal terutama jenis Yamaha 15ZR atau ‘Ysuku’ untuk tidak mengubahsuai motosikal tanpa kebenaran kerana ia menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata tindakan sita akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

“Dulu motosikal yang popular untuk ubah suai adalah Honda EX5 dan sekarang Ysuku ini bahaya kerana mereka ubah suai kelajuan melebihi kemampuan motosikal.

“Trend ini dalam pemerhatian pihak polis. Motosikal itu (Ysuku) memang laju... kenapa perlu ditingkatkan lagi kelajuannya? Ini akan datangkan musibah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui menjalani Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Duta di Kuala Lumpur, malam ini.

Mengulas mengenai operasi malam ini Mohd Nadzri berkata 1,384 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan dalam operasi yang bermula sejak Selasa sehingga malam ini, dan menurutnya dalam tempoh itu juga, 18 pemandu berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan kerana positif dadah.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my