Wanita Haidh Solat Hari Raya?


SOALAN:
Saya ada terdengar dalam satu kuliyah ustaz yang mana wanita yang sedang haidh sunat pergi solat raya. Bukankah wanita yang sedang haidh itu haram mengerjakan solat?

JAWAPAN:
Memang benar wanita yang sedang haidh disunatkan keluar ke tempat orang mengerjakan solat hari raya tetapi bukan untuk solat. Mana mungkin yang sedang haidh mengerjakan solat kerana mereka diharamkan solat. Jadi kena fahami betul-betul maksud pergi ke tempat solat bukan pergi mengerjakan solat.

Banyak hadith yang menjadi dalil perempuan yang sedang haidh disuruh pergi ke tempat orang solat hari raya sama ada solat itu dikerjakan di dalam masjid atau lainnya. Akan tetapi jika dikerjakan di dalam masjid maka hendaklah wanita yang sedang haidh tidak masuk ke dalamnya.

Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan dari Ummu Athiyah r.a beliau berkata tentang solat hari raya:

أُمِرْنَا أنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَومَ العِيدَيْنِ، وذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، ودَعْوَتَهُمْ ويَعْتَزِلُ الحُيَّضُ عن مُصَلَّاهُنَّ، قالتِ امْرَأَةٌ: يا رَسولَ اللَّهِ إحْدَانَا ليسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ قالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِن جِلْبَابِهَا
“Kami telah diperintahkan oleh Rasulullah supaya membawa bersama wanita yang sedang haidh pada solat dua hari raya dan juga wanita yang perawan. Maka dapatlah mereka bersama kaum muslimin dan mendengar khutbah dan mengaminkan doa mereka itu. Dan hendaklah yang sedang haidh itu menjauhkan dari duduk di dalam masjid.” Berkata seorang wanita: “Wahai Rasulullah, salah seorang kami tidak mempunyai jilbab.” Sabda Nabi: “Berilah pinjamkannya jilbab oleh temannya.” [Hadith dengan lafaz ini adalah riwayat Imam Bukhari]

Hadith yang serupa maknanya juga dikeluarkan oleh Imam Muslim dan Tirmidzi dan Tabarani dan Ibnu Hibban. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Sumber: Oh! Media