TFC belum panik walaupun sedar kesukaran di Larkin


KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain belum mahu menekan butang kecemasan sebaliknya optimis peluang buat pasukannya mengintai slot ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini masih terbuka luas.

Malah jurulatih yang mengambil alih tugas daripada Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan pada 15 Mei lalu mengakui sebarang kemungkinan boleh berlaku pada baki 90 minit lagi di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini memandangkan rekod skuad Penyu di stadium itu tidak begitu buruk.

Selain itu, beliau mengakui kekalahan tipis 0-1 kepada juara Liga Super enam kali berturut-turut itu pada suku akhir pertama tidak begitu besar jurangnya dan bukannya jaminan buat skuad Harimau Selatan itu untuk mara ke separuh akhir.

“Biarpun sedar misi ke separuh akhir sedikit sukar kerana beraksi di tempat lawan, ia sama sekali tidak akan melunturkan semangat juang pemain kami untuk mengulangi pencapaian musim lalu.

"Saya tetap positif walaupun tewas pada malam ini (malam tadi), saya fikir peluang masih terbuka dan di sana nanti kita perlu amalkan corak menyerang selain perlu bijak ketika bertahan.

"Bagi saya dalam bola sepak mesti ada kepercayaan, kerja keras dan jika ada rezeki kita mampu mara ke peringkat seterusnya," kata Nafuzi selepas tamat perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan corak yang diperagakan anak buahnya yang tetap melawan biarpun ketinggalan pada minit ke-22 hasil jaringan pemain termahal Liga Malaysia (Liga M), Diogo Santo.

“Perbezaan ketara adalah kualiti pemain, anda lihat barisan pemain JDT adalah antara pemain terbaik di Malaysia, pemain import mereka pun bagus tetapi kesilapan kecil yang dilakukan pemain TFC, kita dihukum.

“Bagaimanapun saya terkilan apabila kerancakan permainan terganggu kerana terlalu banyak perlawanan terhenti.

“Namun saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana dalam permainan apa pun boleh terjadi, apa yang anda lihat itulah keadaaanya,” kata Nafuzi.

TFC perlu menang sekurang-kurangnya 2-1 ke atas JDT untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. - Berita Harian