Timbalan Pengerusinya, Ustaz Harun Esa menyampaikan sampul hadiah berupa wang tunai kepada Guru Besar SEMBARA Md Nasir Ismail |
Oleh : Mawardi
HULU TERENGGANU, 24 September - Sekolah Menengah Kebangsaan Belara (SEMBARA) buat pertama kalinya mengharumkan nama sekolah apabila muncul tempat ketiga (Gangsa) dalam pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (NRC) 2019 yang diadakan Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah pada 21 - 23 September baru-baru ini.
Ketiga-tiga pelajar, Muhammad Amir Arsyad Sharmali Izwar, Muhammad Aqil Hilman Mohd Norhisham, Muhammad Haikal Zakaria, dari kelab robotik SEMBARA bertanding kategori Regular Rookie Lowwer Secondry.
Kejayaan pingat gangsa itu membolehkan anak didik guru dan juga mentor, Cikgu Suhairi Sulong membawa pulang pingat, sijil dan trofi kemenangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, beliau teruja dengan pencapaian berkenaan seterusnya ia dapat menarik golongan remaja terutama pelajar sekolah yang lain untuk memupuk minat mereka dalam bidang-bidang berkaitan.
"Platform seperti ini mencabar minda para pelajar untuk menghasilkan produk inovasi diantaranya kelab robotik yang merupakan salah satu alat bantuan peningkatan pembelajaran." ujarnya selepas dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Ustaz Hilmi yang juga merupakan Pengerusi PIBG Sembara mewakilkan Timbalan Pengerusinya, Ustaz Harun Esa menyampaikan sampul hadiah berupa wang tunai di atas kejayaan tersebut.
Sementara itu Guru Besar SMK Belara Md Nasir Ismail berkata, beliau dan warga sekolah bersyukur dengan kejayaan diraih kumpulan itu yang pertama kali menyertai pertandingan robotik peringkat kebangsaan.
"Kejayaan ini berkat kesungguhan mereka menjalani latihan sejak beberapa bulan lalu dan syukurlah, semua latihan serta ilmu dan diperoleh berjaya digunakan sepenuhnya pada pertandingan itu," katanya.
Sumber: teganukita.net