Piala Cabaran 2019: Tewas Tipis, Terengganu FC2 Yakin Bangkit Aksi Kedua




KUALA TERENGGANU, 20 September- Pengendali Terengganu Football Club 2(TFC2), Tengku Hazman Raja Hassan yakin keajaiban akan berlaku dalam aksi separuh akhir kedua menentang Johor Darul Takzim 2(JDT2) di Pasir Gudang, 27 September ini.

"Peluang masih ada, kita tidak akan beri laluan mudah kepada lawan dalam aksi kedua nanti.

"Dengan pemain yang ada, kita akan bermain sehabis baik dan saya yakin kita mampu mencipta kejutan di sana," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Cabaran, semalam.

Dalam perlawanan itu, Terengganu FC2 tidak berjaya memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah apabila tewas tipis 1-2 kepada JDT2.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Sang Penyu tampil lebih banyak bertahan dalam kawasan sendiri pada awal separuh masa pertama.

JDT2 memulakan perlawanan dengan agresif namun tidak berjaya menembusi gawang Terengganu FC2, sebaliknya tuan rumah berjaya mencemaskan pelawat dengan serangan-serangan balas merbahaya.

Bagaimanapun, perlawanan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC2 terlebih dahulu di depan apabila Bruno Suzuki menyudahkan hantaran Zuasyraf Zulkiefle dengan rembatan kencang menembusi gawang yang dikawal Haziq Nadzli pada minit ke-60.

Namun, keputusan tersebut tidak bertahan lama. Pemyerang gantian JDT2, Darren Lok berjaya menyamakan kedudukan dengan tandukan kemas melepasi kawalan Shamirza Yusoff.

Pelawat kemudiannya merakamkan kemenangan melalui S. Kumaahran pada minit ke-82 sekali gus memberikan kelebihan buat mereka dalam kunjungan Sang Penyu ke Pasir Gudang nanti.

Perseteruan antara Terengganu  dan Johor masih belum berakhir dan malam ini, Terengganu FC pula bakal berdepan JDT dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019.



Sumber: teganukita.net