KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain yakin anak buahnya pasti bangkit pada pertemuan dengan PKNS FC untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.
Selain itu, jurulatih muda yang pernah menyarung jersi skuad Terengganu itu mengakui anak buahnya sudah bersedia untuk merakam kemenangan biarpun bertandang di tempat lawan kerana sebelum ini pernah menundukkan skuad berkenaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) di stadium sama.
"Saya lihat pemain kian bersemangat dan fokus ketika sesi latihan untuk kembali bangkit mencatat kemenangan, situasi ini sudah pasti melegakan kami dalam misi wajib menang bertemu skuad PKNS FC,” kata Nafuzi.
"Ketiadaan pertahanan kanan, Muhamad Hafizal Mohamad yang dilayangkan kad merah ketika bertemu Kedah tidak begitu membimbangkan kami kerana penggantinya, Kamal Azizi Mohd Zabri juga mampu beraksi dengan baik di posisi itu.
"Begitu juga ketiadaan dua pemain tengah, Mohd Syamim Yahya dan Thierry Chantha Bin yang masih bergelut dengan kecederaan, tidak begitu menggusarkan kem TFC kerana kami masih mempunyai pemain yang mampu memikul tugasan itu dengan berkesan."
Pada aksi Liga Super musim ini, skuad Penyu berjaya merakam kemenangan 2-1 ke atas skuad Semut Merah di Stadium Shah Alam pada Julai lalu, manakala aksi pertama peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia, TFC merakam kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
"Setiap perlawanan adalah berbeza apatah lagi lawan sudah terkeluar perebutan ke suku akhir, namun perancangan saya berjalan seperti biasa dan harapan pastinya pemain dapat fokus, tidak melakukan kesilapan mudah serta manfaatkan peluang terhidang dengan jaringan," katanya. - Berita Harian