Oleh: Ahmad Ezani Razali
KEMAMAN, 18 September - Karnival Pekan Budaya Cukai Sejahtera dijangka akan menggegarkan warga Kemaman apabila ianya bakal berlangsung dalam suasana yang cukup meriah pada 19 hingga 21 September ini, bertempat di Padang Astaka, Kemaman.
Pelbagai acara dan aktiviti menarik akan diadakan sepanjang berlangsungnya program itu, antaranya YBC Fun Ride, Kejohanan 'Penalty Street Soccer' Piala YBC, YBC Senamrobik, tarik tali dan Pertandingan 'Beyblade Burst'. Turut diadakan jamuan rakyat, sumbangan fakir miskin, Soopa Doopa percuma serta pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menanti para peserta dan pengunjung yang hadir.
Malam kebudayaan pula akan berlangsung pada hari Jumaat dan menampilkan artis yang popular pada masa kini iaitu Syafiq Farhain bahkan pertunjukan Zapin Johor serta penampilan otai yang masih berbisa, Ijam Medicine dan kemunculan bakat baru anak muda, 'Energy' dan Obeymanan.
Program berunsur keagamaan dan dakwah tidak kurang hebatnya apabila karnival pada kali ini membawakan penceramah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani pada hari Sabtu jam 9.30 pagi dengan tajuk 'Selangkah Ke Alam Barzakh'.
Dan di sebelah malam diadakan forum perdana yang bakal menampilkan Pencetus Ummah (PU) Rahmat dan juga moderatornya, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah.
Bagi wanita dan kanak-kanak juga akan disajikan dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti yang menarik seperti 'Girls Penalty Soccer', pertandingan mewarna ibu dan anak, congkak, gubahan tuala, menjahit perca kain, kupas buah epal, menantu mithali, bowling padang, isyarat rahsia dan bom belon.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat ketika ditemui mempelawa dan menjemput seluruh warga Kemaman untuk hadir memeriahkan karnival tersebut.
"Semoga di karnival kali ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kita tidak kira bangsa, sama ada tua atau muda," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.
Sumber: teganukita.net