Karnival Pantai Terengganu Dibuka Penuh Meriah

Ariffin Deraman 'mengangin' padi sebelum merasmikan karnival.

KUALA TERENGGANU, 14 September - Karnival Pantai Terengganu 2019 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung pada hari kedua penganjurannya yang bermula kelmarin.

Majlis perasmian pesta yang berlangsung di Pentas utama Dataran Batu Burok itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Katanya karnival kali ini bukan sahaja memaparkan mengenai seni dan budaya, tetapi turut menonjolkan pertunjukkan memasak makanan tradisi serta penjualan pelbagai kuih-muih asli Terengganu untuk pengunjung.

"Saya yakin dengan kesungguhan semua pihak melakukan promosi, sasaran seramai 100,000 pengunjung, akan dapat dicapai apabila berakhir karnival ini," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Karnival itu, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengelola karnival berkenaan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Ariffin Deraman berucap merasmikan program.

Menurut Ariffin lagi, kerjasama erat antara jabatan serta agensi kerajaan menjadikan program berkenaan lebih teratur dan menarik berbanding tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menjaga kebersihan dan mematuhi arahan yang menetapkan Pantai Batu Buruk sebagai kawasan larangan merokok.

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi pada Khamis itu turut diserikan dengan persembahan artis terkemuka tempatan termasuk Iklim, Hijjaz dan Syafiq Farhain.

Selain persembahan hiburan, program juga dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan termasuk Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Bicara Wanita, Sukan Rakyat di Pantai, Bicara Santai Artis Hijrah dan Pertandingan Mewarna.

Pameran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan juga diadakan sempena karnival tersebut
Orang ramai membanjir tapak karnival.



Sumber: teganukita.net