SOALAN:
Seorang isteri yang tidak mengambil berat tentang keperluan batin suami sehingga menjangkau setahun dan kerap mengelak ajakan untuk bersama dengan pelbagai alasan serta tidak mempeduli nasihat suami dan tidak menjaga ibadat kepada Allah SWT. Jika isteri bersikap seperti itu, adakah wajib bagi suami untuk memberi nafkah kepada isteri?
JAWAPAN:
Hikmah Perkahwinan
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya. Ini seperti hadis daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Nabi SAW:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
“Dunia merupakan keseronokan sementara dan keseronokan yang paling baik ialah wanita yang solehah.” [Riwayat Muslim (1467)]
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)
Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau menyatakan hikmah perkahwinan di antaranya ialah:
- Memenuhi keperluan fitrah manusia
- Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
- Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
- Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
- Memelihara generasi manusia yang sejahtera
- Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16)
Nafkah Dan Tanggungjawab Suami Isteri
Nafkah adalah pembelajaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/274)
Terdapat pelbagai Nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah al-Talaq: 7)
Para ulama' bersepakat (ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini seperti mana firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah: 233)
Syarat Wajib Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri
Nafkah disyaratkan ke atas suami sekiranya isteri memenuhi syarat yang ditetapkan. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji telah membahagikan kepada dua syarat iaitu:
- Isteri merelakan dirinya untuk bermesra (istimta’), bersetubuh dalam keadaan yang dibenarkan syara’. Dan sekiranya isteri menolak walaupun sedikit, maka suami tidak wajib memberi nafkah kepada isterinya.
- Isteri ikut tinggal di rumah yang dipilih oleh suaminya. Dan isteri wajib tinggal di dalamnya melainkan tempat tinggal itu tidak sesuai untuk didiami dari sudut syara’.
Jika kesemua syarat itu dipenuhi, maka wajib bagi suami untuk memberi setiap nafkah yang diperlukan oleh isteri. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 4/181-182)
Nusyuz
Dr. Muhammad Zuhaili mentakrifkan Nusyuz bermaksud derhaka. Dan nusyuz seseorang perempuan ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya yang diwajibkan oleh Allah SWT. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90)
Firman Allah SWT:
اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” (Surah al-Nisa’: 34)
Perbuatan Nusyuz yang dilakukan isteri adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini seperti mana hadis daripada Abi Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
“Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka Malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.” [Riwayat Muslim (1436)]
Cara Mengatasi Nusyuz
Apabila terdapat tanda-tanda Nusyuz daripada seseorang seperti ia bersikap kurang enak dan bermasam muka. Atau pun seseorang isteri mengeluarkan kata-kata kesat kepada suaminya. Maka di dalam al-Fiqh al-Manhaji mengajar cara mengatasinya dengan:
- Suami sunat menasihati dengan berdasarkan kitab Allah SWT serta mengingatkan tanggungjawab yang diwajibkan Allah SWT ke atasnya berkenaan dengan pergaulan mesra serta sanjung martabat suami. Dan menasihati tentang kemurkaan Allah SWT serta balasannya.
- Dan sekiranya masih tidak berubah, suami hendaklah mengasingkan dan meninggalkannya bersendirian di tempat tidur. Perbuatan ini sungguh berkesan untuk mendidiknya.
- Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.
Jika perselisihan masih tidak mampu diselesaikan maka ia hendaklah dibawa kepada hakim. Hakim hendaklah melantik orang tengah yang beragama Islam dan adil. Dan orang tengah itu hendaklah berusaha sedaya upaya mendamaikan suami isteri tersebut. (lihat: al-Fiqh al-Manhaji 107-108)
Firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah 'orang tengah' (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua 'orang tengah' itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Nisa’: 35)
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan di atas dan nas yang diberikan, perbuatan seorang isteri tersebut kepada suaminya tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana tanggungjawab seorang isteri adalah melayan suaminya dengan baik serta memenuhi tuntutan suaminya.
Oleh itu, suami dan isteri seharusnya berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baik. Sekiranya isteri masih tidak berubah, maka suami boleh lakukan apa yang disarankan di dalam al-Quran:
- Menasihatinya secara berhikmah dengan tutur kata yang baik, kasih sayang dan berniat untuk dia menjadi lebih baik.
- Jika masih juga tidak berhasil, suami boleh untuk mengasingkan tempat tidurdaripada isterinya tersebut.
- Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakandengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.
Oleh itu, suami tidak diwajibkan untuk memberi nafkah sekiranya isteri tidak melakukan tanggungjawabnya kepada suami serta berkelakuan nusyuz. Namun sebaiknya, perkara ini dibawa kepada pihak yang berautoriti untuk menjalankan proses sulh yang terdapat didalam undang-undang keluarga islam di negeri-negeri. Ini bertujuan mengadakan perjanjian damai serta menyelsaikan perselisihan di antara suami dan isteri.
Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada penanya. Kami berdoa agar Allah memberikan sakinah kepada keluarga.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media