SOALAN:
Benarkah haiwan dapat melihat makhluk ghaib seperti malaikat dan hantu syaitan sebagaimana yang diceritakan sesetengah orang?
JAWAPAN:
Sebagaimana yang datang dalam banyak hadith menceritakan bahawa haiwan diberikan kelebihan oleh Allah dapat melihat makhluk seperti malaikat dan jin yang mana manusia tidak dapat melihatnya.
Antara hadithnya ialah:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ، فإنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وإذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا باللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فإنَّه رَأَى شيطَانًا.
“Apabila mendengar oleh kamu sekalian akan kokokan ayam jantan maka mintalah kamu akan Allah kurnia-Nya maka sesungguhnya ayam itu melihat akan malaikat. Dan apabila mendengar oleh kamu sekelian akan tempikan keldai maka mintalah kamu sekalian perlindungan dengan Allah dari syaitan kerana sungguhnya kaldai itu melihat akan syaitan.” (Hadith Bukhari)
Daripada Jabir bin Abdillah r.a. Rasulullah saw bersabda:
إذا سمِعْتم نُباحَ الكلابِ، ونُهاقَ الحَميرِ منَ الليلِ، فتَعوَّذوا باللهِ؛ فإنَّها تَرَى ما لا تَروْنَ
“Apabila kamu sekalian mendengar akan salakan anjing dan tempikan keldai pada waktu malam maka hendaklah kamu memohon perlindungan dengan Allah maka sesungguhnya anjing dan keldai itu nampak akan apa yang kamu tidak nampak.” (Hadith Abu Daud)
Dan ada juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Nasaie dan Al-Hakim dan Ahmad dan lain-lain akan hadith yang serupa.
Menyebut oleh Syeikh Athiyah Saqr:
يؤخذ من هذا أن الحيوانات ترى من مخلوقات الله المغيبة عنا ما لا يراه الإنسان، لكن الربط بين حيوان بعينه وما يراه إن كان ملكا أو شيطانا يقتصر فيه على ما أخبرنا به النبى صلى الله عليه وسلم بطريق صحيح،
“Diambil dari hadith-hadith ini sesungguhnya haiwan dapat melihat akan setengah dari mahkluk Allah yang ghaib dari pandangan kita dari perkara yang kita tidak dapat melihatnya. Akan tetapi kaitan antara melihatnya haiwan akan apa yang kita tidak dapat lihat seperti malaikat dan jin ini terhenti atas apa yang datang kepada kita dari hadith Nabi saw dengan jalan yang sahih.”
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media