DUAT Cungkil Bakat Daie Cilik Terengganu


MARANG, 15 September - Akademi DIDIK ULAMA Amilin Terengganu (DUAT) bakal mengorak langkah dalam usaha mengangkat kewibawaan para pendakwah seluruh Terengganu berpaksikan dengan moto Terengganu Maju Berkat Sejahtera yang menjadi agenda Kerajaan Negeri ini demi kelestarian syiar Islam di Terengganu.

Pengarah Akademi DUAT, Ramlan Hj Mahmood berkata akademi cetusan ilham Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ini secara langsung berperanan dalam  menyempurnakan teras keberkatan sebagai prinsip asas kepada pentadbiran dan pembangunan negeri ke arah memenuhi aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS).

"Kerajaan negeri optimis dengan penubuhan akademi ini dapat diperhebatkan lagi para daie yang berada di Terengganu menerusi program latihan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran kontemporari sesuai dengan tuntutan semasa,


"Bagi kami, ini merupakan langkah terpenting dalam memastikan Terengganu muncul sebagai antara pelopor negeri yang berkat dengan rakyatnya yang sejahtera sepertimana yang termaktub dalam agenda Terengganu Maju Berkat Sejahtera,

"Dengan kerjasama semua pihak, diharap agenda ini dapat mempersembahkan pendekatan dakwah yang lebih inklusif dan mesra masyarakat," katanya ketika menyampaikan ucapan program Daie Cilik Terengganu 2019 yang diadakan di Pusat Sains dan Kretiviti Terengganu baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Abdul Razak.


Program Daie Cilik 2019 Terengganu anjuran Akademi DUAT dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Pendidikan Islam Terengganu itu menonjolkan bakat cilik anak-anak Pra-sekolah mendapat sambutan luar biasa daripada tadika kerajaan dan swasta yang menyertainya.

"Alhamdulillah, sambutan untuk Daie Cilik ini di luar jangkaan kami. Masing-masing menonjolkan bakat tersendiri. InsyaAllah pada tahun hadapan kami akan buka penyertaan agar lebih ramai anak-anak pra-sekolah diketengahkan seterusnya ," katanya.

Sumber: teganukita.net