Azmani membuat kemunculan pertama dengan menyampaikan lagu Gerhana Cinta Luka. |
Pengurusnya, Yusli Mohd Hassan memaklumkan, Iklim bakal kembali mewarnai industri seni tanah air dengan Mohd Azmani Mohd Isa bertindak menggantikan tempat Allahyarham Saleem sebagai penyanyi utama.
Penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merupakan bekas vokalis Kumpulan Kulit yang aktif di antara penghujung tahun 90-an dan terkenal dengan lagu 'Kita Yang Tak Berdosa'.
"Azmani membawa imej baru dalam Iklim dan suaranya sendiri sesuai dengan lagu-lagu baharu yang akan dilancarkan kumpulan ini," katanya ketika ditemui selepas program Malam Kesenian Islam, semalam.
Yusli (tengah) turut berperanan sebagai vokalis kedua diiringi anggota asal Iklim, Umarul (bertopi) dan Mohalim (baju hitam putih). |
Yusli yang turut bertindak sebagai vokalis kedua kumpulan itu juga menyatakan, Iklim akan mula mengeluarkan album dengan lagu-lagu baharu bermula tahun hadapan.
"Insya-Allah, kami akan menyertai satu konsert amal pertengahan Oktober ini serta akan melancarkan lagu baru menjelang tahun baru nanti.
"Kembalinya kami sebagai satu pasukan adalah hasil cetusan kerajaan negeri dan penaja serta kerinduan peminat," ungkapnya.
Hijjaz merupakan antara artis yang menghiburkan Malam Kesenian Islam. |
Dalam pada itu, gitaris Iklim, Umarul Mahdzar berharap peminat dapat menerima kemunculan semula kumpulan tersebut dengan baik.
"Di usia ini, kami akan berusaha semampu mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Harap peminat boleh terima seadanya penyanyi yang kami ada," katanya.
Sumber: teganukita.net