Waspada... - Nafuzi zain


KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak rela pemainnya terjerat dengan taktikal Negeri Sembilan Sabtu ini.

Sebaliknya beliau mahukan anak buahnya berwaspada bagi memastikan kemenangan menjadi milik skuadnya dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS).

Bekas penyerang Terengganu itu juga menuntut anak buahnya berjuang hingga minit terakhir permainan selain perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut bagi mengintai peluang lebih awal layak ke suku akhir.

Beliau yang mengambil alih tugas daripada pengendali sebelum ini, Irfan Bakti Abu Salim, mengingatkan pemainnya tidak mengambil mudah pertemuan itu biarpun berdepan dengan skuad Liga Perdana.

"Usah ambil mudah dan berasa selesa bertemu skuad itu. Ini kerana kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka di atas padang tidak pernah bertemu musim ini, lagipun kekuatan mereka terletak pada posisi penyerang dan sayap.

"Kita juga perlu waspada dengan taktikal skuad itu walaupun kita sudah mencatat dua kemenangan berbanding lawan yang tewas dua perlawanan, apa yang pasti mereka akan bermain bermati-matian untuk menghidupkan kembali peluang layak ke suku akhir,” katanya.

TFC yang diundi dalam Kumpulan A bersama juara Piala FA musim ini Kedah, PKNS FC selain Negeri Sembilan kini memimpin kumpulan selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan menumpaskan PKNS 3-1 dan Kedah 2-0. - Berita Harian