Mengadakan walimah adalah satu sunnah yang murni dan dituntut oleh agama Islam. Ini berdasarkan daripada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu Anhu, beliau menjelaskan:
Abdul Rahman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma).” Rasulullah SAW berkata kepada Abdul Rahman: “Adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan kenduri walimah. Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing, tetapi ia memadai dilakukan bersesuaian dengan kemampuan seseorang.
Al-Imam al-Mawardi menjelaskan bahawa, waktu diadakan majlis walimah adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama. Manakala hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Riwayat al-Bukhari)
Terdapat riwayat lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu beliau berkata bahawa, Rasulullah SAW bersabda:
“Dan seseorang yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Riwayat al-Bukhari)
Walau pun begitu, kewajipan menghadiri undangan ke majlis walimah boleh GUGUR sekiranya ada pelanggaran hukum syarak, sebagaimana penjelasan berikut:
- Apabila dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak) dan lain-lain yang memabukkan.
- Apabila terdapat pengkhususan undangan, di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan dalam majlis walimah, yang mana di dalam majlis tersebut hanya mengundang orang yang kaya dan tidak mengundang orang fakir.” (Riwayat al-Bukhari)
Digalakkan orang yang mengadakan majlis walimah mengundang orang-orang yang bertaqwa, orang-orang yang soleh dan golongan yang memerlukan iaitu fakir dan miskin. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Riwayat Abu Daud)
Kita juga disunatkan untuk mendoakan pasangan pengantin dengan kebaikan, keberkatan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis walimah. Antara doa-doa yang disunatkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana dijelaskan dalam riwayat berikut:
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, baginda akan berkata:
بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْر
“Semoga Allah memberikan keberkatan kepadamu, memberikan keberkatan ke atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Riwayat Abu Daud)
Kita juga disunatkan untuk mendoakan orang yang mengundang kita untuk hadir ke majlis walimah tersebut sebagaimana Rasulullah SAW mendoakan untuk Abdullah bin Busr Radhiallahu Anhu dan keluarganya apabila selesai jamuan:
“Ya Allah, berkatilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Riwayat Muslim)
Kita juga dianjurkan untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Riwayat Abu Daud)
Antara perkara sunnah lain dalam majlis walimah ialah dengan memberi hadiah dan membantu melaksanakan majlis walimah dengan tenaga dan wang ringgit. Ini berpandukan kepada hadis daripada Anas Radhiallahu Anhu beliau berkata: Setelah Nabi SAW menikahi Sofiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata:
“Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak sapi. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Riwayat al-Bukhari)
Untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah, diingatkan agar majlis walimah terpelihara daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Antaranya dinyatakan sebagai contoh:
- Pengantin dan keluarga tidak menutup aurat dengan sempurna seperti memakai pakaian yang jarang, ketat dan terbelah.
- Bersolek berlebihan seperti mencukur kening dan mengenakan wangian yang berlebihan.
- Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
- Keterlaluan dalam mengambil makanan.
- Nyanyian dan muzik yang tidak mematuhi hukum syarak dari segi seni kata dan cara penyampaian.
- Meninggalkan solat kerana terlalu sibuk dan lalai dengan majlis walimah.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah Engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepada-Mu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112)
Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media