(Video) 'Tolong pulangkan semula tin susu yang diambil' - Pemilik treler rayu orang kampung pulangkan tin susu


Rabu 31 Julai 2019, sebuah treler yang membawa muatan susu terbalik di simpang tiga Kampung Tawang, Bachok pada jam 2 pagi menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan. 

Dalam kejadian itu, pemandu dan kelindan mengalami kecederaan ringan. Namun beberapa penduduk mengambil kesempatan untuk mengutip susu tersebut tanpa keizinan pemilik syarikat susu berkenaan. 

Perbuatan mereka itu turut dirakam dan viral di media sosial. 

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan polis juga tidak pasti sama ada tindakan penduduk itu mendapati kebenaran dari pemilik ataupun tidak. 


Bagaimanapun hari ini, pemilik treler tersebut, Azizan Zainudin, 57, tampil merayu kepada orang ramai memulangkan semula susu yang diambil itu.

Menurut Azizan, anaknya, Mohd Baihaqi, 25, dan pekerjanya, Syafiq, mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar bekalan 1,500 karton tin susu itu dari Klang ke gudang di Pengkalan Chepa. 

Namun, anak dan pekerjanya hanya sempat mengambil 149 karton dan 11 tin susu sahaja, yang selebihnya diambil oleh orang ramai yang dipercayai ada yang menyamar sebagai 'tauke'. 

Akibat dari perbuatan tidak bertanggungjawab orang ramai itu, Azizan terpaksa membayar kos kerugian RM120,000. 





"Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan. 

"Setakat ini, dua penduduk kampung sudah menghantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian untuk memudahkan urusan saya dengan pemilik barangan itu," katanya. 

Azizan juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my