Penggunaan Bahan Yang Haram Dalam Perubatan


Soalan:
Bolehkah kita menggunakan bahan yang haram dalam perubatan?

Jawapan:
Allah SWT berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” [Surah al-A’raf (157)]

Al-Sobuni berkata: “Diharamkan ke atas mereka, apa yang kotor dan keji seperti darah, bangkai dan daging khinzir.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/442)

Dalam aspek perubatan, walaupun Nabi SAW memberi kebebasan kepada umat Baginda untuk menggunakan bahan-bahan tertentu sebagai ubat dalam merawat sesuatu penyakit, namun Baginda melarang penggunaan bahan-bahan yang diharamkan. Diriwayatkan oleh Abu Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ
“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.” [Riwayat Abu Daud (3870)]

Al-Tibi berkata: “Sesungguhnya Allah SWT menciptakan setiap penyakit itu ada ubatnya sama ada yang haram atau yang halal. Justeru, jangan sekali-kali menggunakan dengan cara pengubatan yang haram.” (Lihat al-Kasyif 'an Haqaiq al-Sunan, 9/2963)

Oleh itu, bahan-bahan yang tidak halal dan diharamkan oleh Allah SWT seperti yang terkandung dalam al-Quran atau dijelaskan oleh Nabi SAW sama sekali tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya menggunakan beberapa titis arak untuk merawat sesuatu penyakit. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Jabir Ibn Abdillah R.A:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
“Apa sahaja yang memabukkan sama ada banyak atau sedikit, ia adalah haram.” [Riwayat Abu Daud (3681) dan al-Tirmidzi (1865)]

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Setiap yang memabukkan haram sepertimana sabda Nabi SAW, adalah merangkumi semua jenis yang mabuk, sama ada yang wujud pada zaman Rasulullah SAW atau yang selepas daripadanya.” (Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, hlm. 472)

Dalam hadith yang lain, ‘Alqamah ibn Wa’il R.A meriwayatkan daripada ayahnya bahawa beliau telah menyaksikan Nabi SAW ditanya oleh seorang sahabat bernama Suwaid ibn Tariq ibn Suwaid mengenai arak. Maka Nabi SAW telah melarangnya (menggunakan arak tersebut). Kemudian Suwaid berkata: “Sesungguhnya kami telah berubat (menggunakan) arak.” Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهَا دَاءٌ
“Bahawa arak itu bukan merupakan ubat, tetapi penyakit.” [Riwayat al-Tirmidzi (2046)]

Dalam sabda Nabi SAW yang lain, Baginda juga menegah umat Baginda berubat dengan menggunakan sesuatu yang kotor (al-khabath). Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ
“Rasulullah SAW telah melarang ubat yang kotor.”

Ibn ‘Arabi berkata, perkataan al-khabath dalam istilah Arab adalah bermaksud sesuatu yang dibenci. Akan tetapi, apabila dirujuk kepada sesuatu percakapan, ia bermakna suatu celaan, sedangkan jika dirujuk kepada agama bererti kufur. Jika dirujuk kepada makanan, maka ia bererti makanan yang diharamkan. Dalam riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah, disebutkan dengan tambahan bahawa yang dimaksudkan al-khabath iaitu ubat yang kotor itu adalah al-sum iaitu racun. (Lihat Sunan al-Tirmidzi, hadis nombor 2045)

Kedua hadith di atas secara jelas melarang daripada menggunakan benda-benda yang najis dan haram bagi tujuan perubatan. Walau bagaimanapun di dalam kitab al-Majmu’ dinyatakan bahawa larangan tersebut (berubat dengan yang haram dan najis) ialah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci. (Lihat al-Majmu’, 9/58)

Meskipun begitu, Nabi SAW pernah memberikan kebenaran untuk meminum air kencing unta sebagai ubat sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis Baginda. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A:

أَنَّ نَاسًا مِنْ عُرَيْنَةَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ ، فَاجْتَوَوْهَا ، فَبَعَثَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِبِلِ الصَّدَقَةِ ، وَقَالَ : اشْرَبُوا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا
“Bahawa terdapat beberapa orang dari ‘Urainah yang datang ke Madinah; mereka terkena udara buruk Madinah. Maka Rasulullah SAW telah mengutuskan kepada mereka unta zakat (unta yang dibayar kepada Baginda), dan Baginda bersabda: “Minumlah susunya dan air kencingnya.” [Riwayat al-Tirmidzi (2042)]

Daripada keterangan di atas, Rasulullah SAW menyuruh mereka meminum air kencing unta sebagai ubat agar badan mereka kembali sihat akibat cuaca buruk Madinah. Dalam keterangan yang lain, disebutkan bahawa keharusan meminum air kencing unta tersebut adalah ketika menghadapi saat darurat sahaja. Merujuk kepada pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan jumhur ulama’ mengatakan bahawa air kencing adalah najis melainkan ia harus diminum sebagai ubat ketika darurat.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW menyebut bahawa Allah SWT tidak menjadikan kesembuhan daripada bahan yang diharamkan. Ini sepertimana diriwayatkan oleh Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اَللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu dari apa yang diharamkan ke atas kamu.” [Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20171)]

Perkara utama yang perlu diberi perhatian tentang bahan rawatan yang digunakan sebagai ubat ialah halal dan haramnya. Oleh itu, sesuatu ubat mestilah halal, bersih, suci dan diperbuat daripada bahan-bahan yang tidak memberi kemudaratan kepada tubuh badan manusia atau meninggalkan kesan negatif sehingga menjejaskan kesihatan. (Lihat Rawatan Penyakit Jasmani oleh Dato’ Dr. Haron Din, hlm. 60-62)

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa pengharaman pengubatan dengan bahan yang haram adalah selari dengan apa yang dinaskan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW. Inilah yang sepatutnya menjadi pegangan dan amalan kita. Akan tetapi, dalam kes darurat, maka ianya diharuskan tetapi terikat dengan kadarnya. Justeru, kita hendaklah merangkumkan kaedah:

الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات
“Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.” (Lihat al-Asybah wal-Nazhair, oleh Ibn Nujaim. hlm. 85)

Begitu juga dengan kaedah:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا
“Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.”

Kami juga berpendapat, kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia yang digabungkan dengan pakar-pakar perubatan di universiti-universiti di Malaysia mampu menghasilkan penawar dan ubat-ubatan yang bersifat suci dan halal. InsyaAllah, kajian dan penyelidikan yang baik, yang sentiasa beriltizam dengan ilmu akan menemukan natijah dalam isu perubatan ini dengan lebih berkesan dan cemerlang pada masa akan datang.

Semoga kita semua sentiasa redha dalam takdir Ilahi serta mampu untuk mencari pelbagai alternatif yang terbaik dalam rawatan.

Saya mengakhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا
“Ya Allah! Sembuhkanlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Sumber: Oh! Media