Berkunjung ke pusat karaoke bersama rakan-rakan salah satu cara untuk melepaskan stress tetapi jangan pula melakukannya secara keterlaluan kerana dalam satu kes baru-baru ini, seorang lelaki terpaksa pergi ke hospital selepas paru-parunya tiba-tiba 'runtuh'.
Lelaki berusia 65 tahun bernama Wang sebelum itu melayan karaoke dalam tempoh yang agak lama bersama rakan-rakannya dengan menyanyikan 10 buah lagu kegemarannya yang mempunyai nada tinggi.
Setelah menyanyikan beberapa buah lagu, dada Wang mula terasa sakit tetapi dia menyangka itu adalah perkara biasa sahaja.
Tidak berapa lama selepas itu, Wang mula mengalami masalah sukar bernafas dan sakit di bahagian dada kiri. Sekali lagi, Wang tidak mengendahkan 'petanda' itu dan pulang ke rumah seperti biasa.
Keesokan harinya, Wang tidak tahan lagi dan terus pergi ke hospital. Ketika diperiksa, doktor mendapati paru-paru Wang runtuh gara-gara sesi karaoke semalam.
Menurut doktor, Wang membuatkan paru-parunya menjadi tegang ketika dia cuba mencapai nada tinggi lagu yang dinyanyinya di mana tindakan itu boleh memudaratkan nyawanya.
Wang berkata, dia berasa pelik kerana selama ini apabila dia menyanyikan lagu kegemarannya itu, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah.
Meskipun kejadian itu dianggap aneh, doktor berkata kecederaan yang dialami Wang itu merupakan kecederaan biasa yang berlaku pada lelaki pertengahan umur atau tua.
Doktor menasihatkan orang ramai tidak menyanyi secara keterlaluan apabila menyanyikan lagu yang mempunyai nada tinggi dan tempoh berkaraoke yang ideal adalah tidak melebihi dua jam.
Sumber: South China Morning Post, World of Buzz
Sumber : thereporter.my