Fahaman liberalisme adalah fahaman bebas yang tidak terikat dengan syariat Islam. Fahaman ini menjauhkan seseorang Muslim daripada agamanya. Lebih membimbangkan, ia adalah benih kepada fahaman tidak beragama. Sedangkan Islam adalah agama yang mengatur akidah, syariat dan akhlak bagi setiap Muslim sesuai dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah kerana Islam bermaksud ketaatan, kepatuhan dan penyerahan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Islam merujuk kepada cara hidup yang telah diatur oleh Allah SWT melalui syariat yang dibawa oleh rasul-Nya SAW.
Berikut dijelaskan secara khusus beberapa bentuk bahaya fahaman liberalisme terhadap kesucian akidah umat Islam:
Pertama: Fahaman liberalisme membawa kepada fahaman semua agama adalah sama
Golongan liberalisme dan pluralisme menolak wujudnya kebenaran Islam dan menyatakan semua agama adalah sama dan menganjurkan kepada kebaikan. Mereka mendakwa bahawa jika orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menukar agama, maka orang Islam pun hendaklah diberikan kebebasan untuk murtad. Fahaman sebegini amat bahaya dan memudaratkan kerana tegasnya Islam adalah satu-satunya agama yang diredai Allah SWT. Bahkan Allah SWT menegaskan tidak akan sama sekali menerima agama selain Islam dan siapa yang memilih selainnya maka mereka adalah di kalangan orang-orang yang rugi di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak adalah orangorang yang rugi.”
Kedua: Fahaman liberalisme memperjuangkan fahaman sekularisme
Bahaya fahaman sekularisme terhadap akidah apabila seseorang berkeyakinan agama adalah urusan peribadi dan agama hanya dihadkan dalam ruang lingkup upacara agama semata-mata. Golongan sekularisme mendakwa agama bertentangan dengan sains, atau wahyu bertentangan dengan akal. Kerana itu, mereka menganggap manusia tidak perlu tunduk kepada aturan agama. Mereka mengatakan bahawa riba itu halal dan menyumbang kepada ekonomi negara. Begitu juga mereka mengatakan bahawa arak itu hak individu untuk meminumnya dan khalwat pula adalah hak peribadi yang tidak boleh diganggu. Fahaman sebegini sangat memudaratkan dan merosakkan akidah seorang Muslim kerana Islam adalah cara hidup yang sempurna.
Ketiga: Fahaman liberalisme berpaksikan logik akal semata-mata
Mengikut logik akal semata-mata secara mutlak adalah bahaya tanpa sebarang panduan wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Kerana kemampuan akal sangat terbatas berbanding wahyu Allah SWT. Fahaman tersebut boleh membawa kepada kekufuran. Apabila bertembung al-Quran dengan logik akal, maka sebagai orang Islam kita perlu mendahulukan al-Quran dan al-Sunnah walaupun ianya bercanggah dengan nafsu dan akal.
Sesungguhnya al-Quran dan al-Sunnah mengajarkan umat Islam kaedah-kaedah memperkukuhkan akidah. Antara panduannya ialah berpegang teguh dengan wahyu Allah membantu setiap Muslim untuk berada pada jalan yang lurus dan akidah yang sahih. Firman Allah SWT dalam surah Al-Zuhruf ayat 43 yang bermaksud:
“Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.”
Selain daripada itu, kita hendaklah menjauhi golongan jahil lagi fasiq yang menyebabkan kecelaruan dan kesesatan. Diriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah bersahabat melainkan dengan orang beriman dan janganlah ada orang yang memakan makanan kalian melainkan orang yang bertaqwa.” (Riwayat Ahmad)
Kaedah seterusnya untuk memperkukuhkan akidah ialah dengan mengambil iktibar daripada kisah-kisah azab dan balasan terhadap umat terdahulu.
Al-Quran mengisahkan pelbagai sejarah umat terdahulu yang telah diazab kerana menentang dakwah para rasul. Ada umat yang bumi mereka diangkat, diterbalik, dihempap dan dihenyak semula ke bumi. Ada umat yang disambar dengan petir, ada umat yang bertukar menjadi beruk dan sebagainya. Lihatlah, sedarlah! Akibat dan pembalasan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT!
Sesungguhnya, berpegang teguh dengan ajaran Islam di akhir zaman diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai menggenggam bara api. Hadis daripada Anas bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Toha: 124)
Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media