Lee Tuck tunggu lampu hijau


BIARPUN dilanda kecederaan di bahagian buku lali, kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui tidak sabar beraksi menentang Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu juga menyatakan dia tidak rela lagi menjadi penonton selepas tidak beraksi ketika bertemu PKNS FC minggu lalu susulan digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super.

“Pergelangan kaki saya belum pulih 100 peratus lagi, oleh itu saya perlu melakukan pemeriksaan pada pagi ini sebelum perlawanan berlangsung pada sebelah malam.

“Jika pegawai perubatan mengesahkan saya boleh beraksi, saya tidak akan melepaskan peluang itu, namun ia bergantung kepada perancangan barisan jurulatih,” ujar Tuck.

Mengulas lanjut, arkitek skuad Penyu itu menyatakan bukan mudah beraksi di Stadium Darul Aman lebih-lebih lagi moral pemain pasukan Helang Merah itu pasti tinggi susulan kejayaan menjuarai Piala FA selain membenam Negeri Sembilan 3-1 pada aksi pertama peringkat Kumpulan A minggu lalu.

Justeru pemain itu menuntut fokus tinggi daripada rakan sepasukannya di setiap posisi bagi menyaingi kekuatan lawan yang sudah pasti mengamalkan corak menyerang.

“Kemenangan menentang PKNS minggu lalu sangat bermakna biarpun tanpa saya.

Saya dapat lihat kami bermula dengan baik dalam kempen Piala Malaysia, namun harus diingat perjalanan masih jauh dan banyak lagi perlawanan yang sukar menanti.

“Oleh itu bertemu Kedah, kami perlu fokus minda dan dalam masa sama pemain perlu mengikut perancangan jurulatih,” katanya mengakui ketika ini momentum pemain berada pada tahap terbaik. - Harian Metro