Jumlah Nabi Dan Rasul Yang Diutus Oleh Allah


Soalan:
Berapakah jumlah sebenar Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT? Saya pernah terbaca, jumlah Nabi ialah seramai 124,000, manakala jumlah Rasul ialah 313 orang. Benarkah jumlah ini?

Jawapan:
Kita beriman bahawa Allah SWT telah mengutuskan utusan-Nya kepada setiap umat. Firman-Nya:

وَإِنْ مِنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ
“...dan tidak ada sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.” [Surah Fatir (24)]

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.” [Surah al-Nahl (36)]

Dalam kalangan Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi ini, sebahagiannya diceritakan di dalam al-Quran, dan sebahagian yang lain tidak diperihalkan, sebagaimana firman-Nya:

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ
“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-Rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.” [Surah al-Nisa’ (164)]

Berapa jumlah sebenar Nabi dan Rasul?

Memang terdapat beberapa riwayat hadith yang menyebut jumlah para Nabi dan Rasul. Namun para ulama’ berbeza pandangan dalam menetapkan darjat hadith-hadith ini, kalangan mereka ada yang mendhaifkan, dan ada juga yang menyatakannya sebagai hasan (baik).

Antara hadith yang diriwayatkan berkenaan jumlah para Anbiyaa’ dan Mursalin ialah hadith riwayat Abu Dzar al-Ghifari R.A:

قلت : يا رسول الله ، كم الأنبياء ؟ قال : مائة ألف وأربعة وعشرون ألفًاً ، قلت : يا رسول الله ، كم الرسل منهم ؟ قال : ثلاثمائة وثلاثة عشر جَمّ غَفِير
Aku bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, berapakah bilangan Anbiyaa’?” Nabi SAW menjawab: “124,000 orang.” Aku bertanya lagi: “Berapakah bilangan Rasul daripada kalangan Anbiyaa’ tersebut?” Nabi SAW menjawab: “313 orang, dan jumlah itu adalah ramai.” [Sahih Ibn Hibban (361)]

Hukum hadith

Pentahqiq bagi Sahih Ibn Hibban, Syeikh Syu’aib al-Arna’ut pula menyatakan hadith ini teramat lemah (dha’if jiddan). (Rujuk Tahqiq Sahih Ibn Hibban 2/79)

Hadith ini juga didhaifkan oleh Imam al-Suyuti. (Rujuk al-Durr al-Manthur 5/132)

Menurut Imam Ibn Kathir, salah seorang perawi hadith ini iaitu Ibrahim bin Hisyam dikritik oleh ramai ulama’ hadith seperti Imam Ibn al-Jauzi, dan kerana itu beliau memasukkan hadith ini di dalam himpunan hadith palsunya, al-Maudhu’at. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 2/470)

Terdapat juga hadith lain daripada Anas bin Malik R.A, dimana Rasulullah SAW bersabda:

بعث الله ثمانية آلاف نبي ، أربعة آلاف إلى بني إسرائيل ، وأربعة آلاف إلى سائر الناس
“Allah SWT telah mengutus 8 ribu Nabi, 4 ribu kepada Bani Israil dan 4 ribu lagi kepada seluruh manusia.” [Riwayat Abu Ya’la (7/160)]

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitsami, salah seorang perawinya iaitu ‘Ubaidah al-Rabzi, dan dia seorang yang sangat dhaif. (Rujuk Majma’ al-Zawa’id 8/210)

Terdapat juga riwayat lain yang berbunyi:

أنَّ الأنبياءَ مائةُ ألفٍ وأربعةٌ وعشرونَ ألفًا ، وأنَّ الكُتبَ المنزَّلَةَ مائةٌ وأربعةُ كُتُبٍ
“Sesungguhnya para Anbiyaa’ itu berjumlah 124,000 orang, dan kitab yang diturunkan berjumlah 104 buah.”

Menurut Imam al-Syaukani, sanad bagi hadith ini bertaraf hasan (baik). (Rujuk Al-Fath al-Rabbani 1/484)

Sementara Imam Ibn ‘Atiyyah pula menyebut bahawa riwayat-riwayat yang menyatakan tentang jumlah Nabi dan Rasul adalah tidak sahih, dan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui akan jumlahnya yang sebenar. (Rujuk Al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz 2/137)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa hal ini merupakan satu perkara ijtihadi yang diperselisihkan oleh para ulama’. Terdapat hadith yang menyebut jumlah Nabi dan Rasul yang diutuskan, namun kesahihan hadith-hadith tersebut dipertikaikan oleh sebahagian ulama’, dan diterima oleh ulama’ yang lain.

Kami berpandangan, setiap Muslim berhak untuk memilih mana-mana pandangan ulama’ berkenaan isu ini, memandangkan ia merupakan satu perkara cabang dalam akidah.

Kita wajib beriman secara tafsili (terperinci) dengan Nabi-nabi dan Rasul yang disebut di dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih, adapun yang tidak disebut di dalam kedua-duanya, cukup sekadar beriman secara ijmali (umum).

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Sumber: Oh! Media