Soalan:
Adakah harus kaum wanita solat jenazah? Adakah boleh kaum wanita ikut hantar jenazah ke kubur dan bagaimana pula kalau isteri yang mahu hantar jenazah suaminya ke kubur?
Jawapan:
Solat jenazah hukumnya fardu kifayah atas kaum lelaki dan tetapi harus kaum wanita mengerjakannya dan dapat pahala bagi mereka seperti kaum lelaki sebagaimana yang disebut dalam hadith.
Sabda Rasulullah saw:
مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ، فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ، الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ
“Barangsiapa yang solat atas jenazah maka baginya pahala sebanyak satu qirat. Maka jika ia menyaksikan jenazah ditanam nescaya baginya pahala dua qirat. Satu qirat itu adalah sebesar bukit Uhud.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Akan tetapi dimakruhkan bagi kaum wanita sebagai makruh tanzih mengikut jenazah ke tanah perkuburan kerana hadith yang sabit dari Ummi 'Athiyyah r.a. katanya:
نُهِينَا عَنِ اتِّبَاعِ الجَنَائِزِ، وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
“Telah dilarang akan kami dari mengikut akan jenazah tetapi tidak diketatkan larangan atas kami.” (Hadith Bukhari & Muslim)
Berkata Imam Nawawi:
معناه: نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم عن ذلك نهي كراهة تنزيه، لا نهي عزيمة تحريم، ومذهب أصحابنا أنه مكروه ليس بحرام لهذا الحديث
“Makna ‘tidak diketatkan larangan atas kami’ itu ialah telah melarang akan kami oleh Nabi saw dari mengikuti jenazah ke kubur dengan larangan makruh tanzih bukan larangan haram. Dan bermula mazhab kami sesungguhnya wanita mengikuti jenazah ke kubur itu makruh bukannya haram kerana hadith ini.” (Kitab Syarah Muslim)
Berkata Imam Nawawi lagi:
هذا الذي ذكرناه من كراهة اتباع النساء الجنازة هو مذهبنا، ومذهب جماهير العلماء، حكاه ابن المنذر عن ابن مسعود، وابن عمر، وأبي أمامة، وعائشة، ومسروق، والحسن، والنخعي، والأوزاعي، وأحمد، وإسحق، وبه قال الثوري
“Inilah yang telah kami sebutkan iaitu makruh wanita mengikut jenazah ke kubur. Dan itulah pendapat mazhab kami dan jumhur ulama’. Imam Ibnu Munzir menghikayatkannya daripada Ibnu Mas'ud dan Ibnu Umar dan Abu Umamah dan Aisyah dan Masruq dan Al-Hasan dan An-Nakhaie dan Auza'ie dan Imam Ahmad dan Ishaq dan dengannya berpendapat A-Thaury.” (Kitab Al-Majmu')
Adapun jika yang mati itu suami maka dilarang akan isterinya itu keluar menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan kerana isteri tersebut berada dalam iddah dan berkabung. Hendaklah dia tinggal di dalam rumahnya sehingga selesai iddahnya itu.
Tersebut pada fatwa Mufti Oman:
أما إذا كانت الجنازة للزوج فلا يجوز للمرأة أن تخرج من بيتها لحضور الجنازة لأنها معتدة، والمعتدة تلزم بيت الزوجية، وإذا أحضر الزوج إلى البيت فلها أن تصلي عليه في بيتها. وانظر الفتوى رقم: (906). والله تعالى أعلم.
“Adapun apabila adalah jenazah itu suami maka tidak harus bagi isteri keluar dari rumahnya kerana pergi ke kubur kerana sungguhnya dia sedang beriddah. Isteri yang sedang beriddah wajib tinggal di rumahnya. Apabila ada jenazah di dalam rumah maka harus isteri itu solat atas suaminya itu di dalam rumah itu.” (Rujuk Fatawa No. 906).
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media