Soalan:
Bolehkah haiwan yang telah dikasi, dijadikan sebagai haiwan korban?
Jawapan:
Takrif Kasi
Menurut Kamus Dewan Bahasa, kasi bermaksud sudah dihilangkan alat jantannya atau tidak ada sifat jantannya lagi. Perbuatan mengasi bermaksud menghilangkan alat jantannya. Perkataan lain yang memiliki maksud yang hampir sama ialah kembiri. Ia juga bermaksud tidak ada jantannya atau sifat kejantanannya, atau sudah dihilangkan jantannya. Mengembiri merupakan perbuatan seseorang menghilangkan (membuang) alat jantannya. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Kasi atau castrate dalam istilah perubatan ialah merujuk kepada perbuatan membuang testis. Dalam istilah arab, ia disebut (الإخصاء) iaitu penghapusan fungsi alat jantina manusia atau haiwan (lelaki/jantan).
Menurut Wikipedia, pengembirian atau pengasian (castration) adalah tindakan bedah dan atau menggunakan bahan kimia yang bertujuan untuk menghilangkan fungsi testis pada jantan atau fungsi ovarium pada betina. Pengembirian dapat dilakukan baik pada haiwan ataupun manusia. (Lihat Wikipedia Ensiklopedia Bebas)
Kembiri atau kasi kambing adalah satu proses dimana testis kambing jantan dibuang untuk menjadikan kambing tersebut sesuai menjadi kambing pedaging. Apabila testis pada zakar kambing jantan ini dibuang maka kambing tersebut tidak dapat mengawan di mana ianya akan menjadi lebih gemuk akibat kurang aktif untuk mengawan. [Lihat: Kembiri Kambing (Kasi) oleh Mohd Anim Hosnan]
Pada asasnya, para ulama’ mazhab Syafi’e membolehkan mengasi haiwan yang halal dimakan ketika haiwan tersebut masih kecil, dan mengharamkannya ketika haiwan tersebut sudah besar. Imam Nawawi menukilkan pendapat Imam Baghawi yang menyebut: “Haram mengasi semua haiwan yang tidak boleh dimakan. Adapun haiwan yang boleh dimakan maka boleh mengasinya ketika masih kecil, dan haram ketika sudah besar.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/117)
Ulama’ Hanabilah membolehkan pengembirian binatang ternakan kerana ia akan mengelokkan (menggemukkan) dagingnya, dan memakruhkan mengasi binatang yang tidak halal kerana tidak ada manfaatnya dan menyakiti mereka. Begitu juga para ulama’ Hanafiyyah dan Malikiyyah juga membolehkan pengembirian pada haiwan ternakan yang halal dimakan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/122)
Bolehkah Haiwan Kasi Dijadikan Haiwan Korban?
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُضَحِّيَ ، اشْتَرَى كَبْشَيْنِ عَظِيمَيْنِ ، سَمِينَيْنِ ، أَقْرَنَيْنِ ، أَمْلَحَيْنِ مَوْجُوءَيْنِ
“Bahawa apabila Rasulullah SAW hendak melaksanakan korban, maka Baginda membeli dua ekor kibasy yang besar, gemuk, bertanduk dan berwarna belang (hitam dan putih), yang dikasi.” [Riwayat Ibn Majah (3122), Ahmad (25046) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (18827) dan Syu’ab al-Iman (1486)]
Manakala dalam lafaz yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, beliau berkata:
ذَبَحَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الذَّبْحِ كَبْشَيْنِ أَقْرَنَيْنِ أَمْلَحَيْنِ مُوجَأَيْنِ
“Nabi SAW pada hari Korban menyembelih dua ekor kambing yang bertanduk, hitam putih bulunya, dan dikasi.” [Riwayat Abu Daud (2795)]
Imam al-Khattabi Rahimahullah berkata: “Sebahagian ulama’ memakruhkan haiwan yang dikasi kerana kekurangan anggotanya. Yang sahih, ia tidaklah makruh. Ini kerana pengasian (castration) akan memberikan manfaat pada dagingnya (menjadi enak/gemuk), dapat menghilangkan lemak serta bau busuk haiwan. Anggota tersebut juga bukan anggota yang dimakan.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/335. Pendapat ini juga dinukilkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, 10/10)
Imam Nawawi berkata: “Diharuskan (binatang korban) sama ada jantan, betina atau yang dikasi.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 320)
Al-Bujairimi juga menyebut bahawa dibolehkan haiwan korban daripada binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing sama ada betina atau jantan walaupun yang dikasi. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 4/397)
Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya menyebut: “Para ulama bersepakat bahawa korban tidak dibolehkan kecuali dengan binatang ternakan iaitu: Unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri (termasuk kambing) dengan segala jenisnya mencakupi yang jantan atau betina, sama ada yang dikasi atau yang tidak dikasi (pejantan).” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/259)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di atas, haiwan atau ternakan yang telah dikasi adalah boleh dan sah untuk dibuat korban atau aqiqah. Ia tidaklah termasuk dalam kecacatan yang menghalang sahnya sesuatu haiwan untuk dijadikan korban.
Semoga Allah SWT menerima ibadah korban yang kita lakukan dan mengurniakan kita ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media